KOTA BHARU: Seorang isteri nekad meneruskan legasi arwah suami dengan menggerakkan Kelab Santuni Asnaf Kelantan dalam usaha membela nasib golongan berkenaan supaya tidak terabai di saat berdepan peningkatan kos sara hidup.
Zurawati Zulkifi berkata, walaupun berdepan dengan tugas sukar namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan legasi arwah suami, Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni menyantuni golongan berkenaan.
“Selagi ada daya upaya dan dengan izin Allah, saya akan berjuang menghidupkan kelab ini. Arwah suami cukup aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan dia pernah berpesan kepada saya supaya meneruskan perjuangan kelab ini bagi menjaga golongan asnaf,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Zurawati memberitahu, sebelum suami meninggal dunia, arwah banyak membantu termasuk mencari dana bagi menghidupkan kelab itu.
Katanya, sejak arwah suami pergi dia mengambil alih sepenuhnya pengurusan kelab berkenaan sambil dibantu lima ahli kelab untuk terus membantu asnaf.
“Walaupun harga bahan mentah meningkat, kami tetap menyediakan satu menu untuk diagihkan kepada asnaf sepanjang Ramadan tahun ini.
“Setiap hari sebanyak RM3,000 dibelanjakan untuk menyediakan lauk dan diagihkan kepada lebih 800 asnaf yang berdaftar dengan kelab ini,” jelasnya.
Zurawati berkata, dia berhasrat mengadakan aktiviti mingguan seperti makan percuma setiap Jumaat serta kelas al-Quran pada hari minggu sekiranya mempunyai dana yang mencukupi.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkannya di akaun Bank Muamalat 03010007464711 (Kelab Santuni Asnaf Kelantan). – UTUSAN