Isteri banyak bersabar dengan saya - Nabil Ahmad - Utusan Malaysia

Isteri banyak bersabar dengan saya – Nabil Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR 11 tahun melayari bahtera perkahwinan bersama isteri tersayang, Nazirah Ayub, pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad kini mampu tersenyum dengan kebahagiaan yang dikecapi dalam rumah tangganya.

Bagaimanapun, Nabil yang juga seorang pelakon terkenal, tidak menafikan ujian dan cabaran perlu dilalui untuk menentukan keutuhan rumah tangga yang dipertahankan hingga ke hari ini.

Ditemui pemberita usai majlis pelancaran gedung tekstil terbaru Jakel di Shah Alam baru-baru ini, Nabil memaklumkan dia bersyukur kerana Allah telah menghadirkan seorang isteri yang cukup tinggi sifat sabarnya, yang sebenarnya menjadi rahsia kekuatan dalam perkahwinannya.

“Bila tengok kawan-kawan diuji masalah rumah tangga, saya doa, minta Allah campakkan kesabaran yang tinggi dalam diri isteri saya. Sampai sekarang, dia masih bersabar dengan saya.

“Isteri saya memang lebih banyak bersabar berbanding saya. Dia paling banyak terima kekurangan saya, menasihati saya.

“Saya bersyukur kerana isteri Zira masih boleh bersabar. Saya juga ambil iktibar dan muhasabah diri dengan ujian yang menimpa rumah tangga kawan-kawan saya sekarang ini. Ia memberi peluang kepada saya untuk perbaiki kekurangan diri,” katanya.

Kata Nabil, perkahwinan mana-mana pasangan sekalipun akan diuji Allah dengan cabaran dan halangan tertentu yang adakalanya menghadirkan konflik antara pasangan suami isteri. Sebagai suami, dia tidak menidakkan perkara itu juga menerjah rumah tangganya.

“Saya tak nafikan, memang timbul isu dalam berumah tangga. Ada pasang surut, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Saya memang risau, kalau isteri satu hari nanti hilang sabar dengan saya.

“Jadi kuncinya memang kena banyak bersabar, laksanakan tanggungjawab sebagai suami sepenuhnya,” katanya.

Diminta mengulas tentang keadaan semasa, cerita-cerita konflik rumah tangga artis yang semakin kerap dipertontonkan kepada umum pada masa kini, kata Nabil dia hanya mahu mendoakan agar urusan mereka dipermudahkan.

“Saya tak mahu komen tentang rakan-rakan yang diuji dengan masalah rumah tangga. Tetapi saya lebih mahu mendoakan mereka.

“Contoh Diana Danielle dan Farid Kamil, mereka adalah kawan-kawan yang pernah bekerjasama dengan saya. Jadi saya doakan mereka, agar bersama-sama menjalani ujian ini dan berbaik semula.

“Suami isteri boleh kawal keadaan apabila bergaduh. Kita sahaja yang tahu tentang had diri sendiri. Yang merisaukan adalah apabila kita tidak mampu kawal (konflik) rumah tangga,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.