ICQS Bukit Berapit dibina di lokasi dekat pintu sempadan - Utusan Malaysia

ICQS Bukit Berapit dibina di lokasi dekat pintu sempadan

SHAMSUL Anuar Nasarah menyampaikan sumbangan kepada anak yatim pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lenggong hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Kerajaan bersetuju untuk membina Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu di lokasi baharu yang lebih hampir dengan pintu sempadan negara, Malaysia-Thailand.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, cadangan projek itu akan dimasukkan dalam permohonan bajet di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pada tahun 2025.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja penyediaan dokumen akan dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan kerja-kerja fizikal dilaksanakan setelah peruntukan diluluskan kerajaan.

“Memang telah dibangkitkan banyak kali dalam mesyuarat keselamatan daerah dan negeri berhubung kedudukan bangunan ICQS di Bukit Berapit yang agak jauh, lebih kurang 700 meter dari pintu sempadan antarabangsa.

“Kedudukan bangunan yang agak jauh ini boleh menyebabkan berlaku isu-isu pencerobohan sama ada kemasukan dari luar negara ke dalam negara atau dari dalam negara ke luar.

“Jadi, menteri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantapan Kawalan Sempadan Negara pada 11 April lalu telah bersetuju untuk KDN (Kementerian Dalam Negeri) membuat keputusan bagi pembinaan baharu ICQS untuk dilaksanakan dalam RMK-13,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lenggong di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain.

Mengulas lanjut beliau berkata, untuk pelaksanaan pelan jangka pendek bagi memperketatkan kawalan di sempadan, sekatan jalan raya (SJR) sedia ada akan dibawa ke hadapan berhampiran pintu masuk antarabangsa.

Katanya, SJR di lokasi baharu itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Lokasi SJR baharu berhampiran pintu sempadan negara ini bagi membolehkan kawalan keselamatan dan saringan dibuat lebih awal.

“Dengan langkah ini, kita berharap isu-isu pencerobohan dan penyeludupan dapat ditangani oleh pihak polis dan agensi-agensi lain di kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya