Hilang empat ahli keluarga sekelip mata

‘Nahas itu amat menyedihkan…saya hilang empat ahli keluarga sekelip mata’

SOPIAH Roz (kanan) menuntut jenazah suami dan ahli keluarganya di Hospital Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang anggota Rela di Putrajaya hilang empat ahli keluarga dalam sekelip mata selepas kesemua mereka maut dalam kemalangan di Jalan Parit Semerah-Parit Kudus, di sini, petang kelmarin.

Sopiah Roz, 57, berkata, nahas itu amat menyedihkannya kerana sebelum itu kesemua mereka datang menziarahi adik­nya, Baharuddin Roz, 41, yang meninggal dunia disebabkan terjatuh di bilik air di rumah ibu mentuanya di Kampung Parit Bengkok, malam kelmarin.

Dalam kemalangan petang kelmarin, suaminya, Jamaludin Abd. Wahab, 58, anaknya, Muhamad Shah Rizal Jamaludin, 22, dan adik bongsunya, Muhamad Nor Azlan Roz, 28, maut di tempat kejadian manakala adik iparnya, Mohd. Faizal Saari, 35, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru malam tadi.

Katanya, dia tidak menyertai suaminya dan mangsa lain yang keluar sebentar sebelum kemalangan itu berlaku.

“Saya ada menghubungi sua­mi beberapa kali tetapi tidak dijawab sebelum panggilan be­rikutnya dijawab oleh anggo­ta polis yang memberitahu tentang kemalangan tersebut,” ka­tanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Unit Forensik Hospital Pontian.

Suaminya yang turut bertugas sebagai anggota Rela di Putrajaya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan bergegas ke Pontian selepas dimaklumkan tentang adik iparnya yang meninggal dunia.

Menurut Sopiah, anaknya ­Allahyarham Muhamad Shah Rizal yang bekerja sebagai pe­ngawal keselamatan meninggalkan seorang isteri, Siti Zulaikha Bah Seni, 20, dan seorang anak pe­rempuan berusia setahun.

“Muhamad Nor Azlan Roz, yang berlainan ibu dengan saya, masih bujang dan merupakan adik bongsu seibu dengan Baharudin Roz,” jelasnya.

Sementara itu, Siti Zulaikha ketika ditemui enggan ditemu bual kerana terlalu sedih de­ngan kehilangan suaminya itu.

Jenazah Muhamad Nor Azlan Roz dan Mohd. Faizal Saari di­jangka dikebumikan di Gombak, Kuala Lumpur, manakala jena­zah dua beranak, Muhamad Shah Rizal dan ayahnya, Jama­ludin akan dikebumikan di Tapah, Perak, malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Da­erah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib ber­kata, kemalangan tersebut me­libatkan dua kenderaan iaitu Proton Saga yang dinaiki empat mangsa dari arah Parit Semerah ke Parit Kudus dan Proton Perdana dari arah bertentangan.

Ketika sampai di lokasi kejadian, kereta Proton Saga dila­porkan hilang kawalan lalu ber­tembung dengan Proton Perdana mengakibatkan terjunam ke dalam parit berhampiran.

“Kesemua mereka tersepit di dalam kereta tersebut, dengan pemandu dan dua penumpang mengalami kecederaan pada bahagian kepala, tangan dan kaki serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penumpang me­ngalami kecederaan parah dan dihantar ke HSA tetapi disahkan meninggal dunia malam tadi.

“Pemandu kereta Proton Per­dana, Danny Tauh, 20, turut cedera dan kini dirawat di Hospital Pontian,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×