Harga tiket mahal: Ka Siong dinasihat tidak kelirukan rakyat

Harga tiket mahal: Ka Siong dinasihat tidak kelirukan rakyat

ANTHONY Loke pada sidang akhbar berkenaan harga tiket penerbangan di Kementerian Pengankutan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jangan cuba keluarkan kenyataan yang mengelirukan, sebaliknya mendidik rakyat mendapatkan tiket pada harga penerbangan murah.

Itu nasihat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kepada Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung dakwaan dibuat Ahli Parlimen Ayer Hitam itu mengenai harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau (KUL-TWE) yang dikatakan mencecah lebih RM3,000.

Loke berkata, bekas Menteri Pengangkutan itu sepatutnya mempunyai pengetahuan mendalam mengenai industri penerbangan dan bukannya merujuk perbandingan harga menerusi aplikasi tiket semata-mata.

“Bekas menteri takkan tidak tahu bahawa Malaysia Airlines (MAS) ada aplikasi sendiri. Kalau periksa tiket MAS, mengapa guna aplikasi AirAsia (Super App)?

“Ia ibarat nak beli KFC tapi pergi ke McDonald’s,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, isunya ketika ini ialah ada pihak ketiga yang menjual tiket untuk Malaysia Airlines menerusi aplikasi lain.

Loke berkata, pihaknya mengakui ada pelbagai aplikasi yang menjual tiket untuk Malaysia Airlines, malah perkara itu turut disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAB), Kapten Izham Ismail.

Menurutnya, Izham memaklumkan Malaysia Airlines kini ada pertikaian dengan AirAsia berkenaan dengan penjualan tiket ini melalui aplikasi AirAsia.

“Jadi Malaysia Airlines sudah memfailkan injuksi terhadap Super App AirAsia daripada menjual tiket Malaysia Airlines, tapi itu (perkara yang perlu diselesai) antara dua pihak ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Loke berkata, sebanyak 78 peratus kerusi MAS terjual sepanjang musim perayaan ini dengan harga yang ditawarkan antara RM209 sehingga RM841 bagi kelas ekonomi.

“Malah, AirAsia juga menawarkan harga tiket tetap pada kadar RM199 ke Sarawak dan RM249 ke Sabah bagi memenuhi permintaan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya.

Katanya, beliau tidak menafikan terdapat tiket mahal, namun, ia kebiasaannya melibatkan tiket yang dibeli pada saat-saat akhir.

Pada masa sama, Loke berkata, beliau turut mengundang Ka Siong ke majlis pelepasan penerbangan ke Tawau pada Khamis ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2, pukul 10.15 malam.

“Kalau beliau tidak percaya ada tambang murah, saya undang beliau datang dan beliau boleh temubual setiap penumpang,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata, pihaknya mengesahkan tiada sebarang aduan berhubung harga tiket penerbangan diterima Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) buat masa ini.

Sebelum ini, Ka Siong mendakwa tiket penerbangan bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tawau mencecah masih mencecah lebih RM3,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya