'Harap kita lebih bijak nak sokong siapa' - Shiha Zikir

‘Harap kita lebih bijak nak sokong siapa’ – Shiha Zikir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Shiha Zikir berharap orang ramai lebih bijak dalam setiap tindakan dan tahu untuk menyokong individu sebenar bergelar artis.

Kata Shiha, penyanyi yang benar-benar mempunyai bakat perlu diangkat dan diletakkan di tempat selayaknya bagi menjamin kelangsungan industri muzik di negara ini.

“Harap kita lebih bijak dan tahu siapa yang perlu kita sokong atau tidak. Ini bukan bermaksud kita tak boleh sokong orang seperti itu.

“Terpulang citarasa masing-masing. Ada orang suka tak suka benda (video muzik) yang serius, ada yang suka kelakar,” katanya semasa majlis pelantikan sebagai penyanyi lagu Hari Raya Aidilfitri bertemakan Raya Meriah Max di pusat beli belah terkenal di Cheras, baru-baru ini.

Pelantun lagu Irama itu berharap pengguna juga perlu bijak menyaring sebarang kandungan muzik di media sosial supaya tidak mempopularkan golongan yang tidak sepatutnya.

“Bila kita lihat dan tonton secara automatik akan sohor kini sampai orang di luar negara pun jadi tahu.

“Siapa lagi nak jaga industri muzik kalau bukan kita?” soalnya.

Ditebak sekiranya ditawarkan bayaran lumayan untuk menjayakan video muzik pelik-pelik, kata Shiha, dia berpegang prinsip yang jelas sejak mula-mula berada dalam indsutri muzik.

Katanya, dia tidak akan sesekali terpedaya dengan tawaran tinggi semata-mata kerana semua karya yang dihasilkan akan ditapis terlebih dahulu.

“Kalau lihat lakonan dan nyanyian saya selama ini, itu semuanya sudah ditapis.

“Kalau pergi ke arah negatif, sebenar mana pun bayaran atau sekecil mana pun tawaran, kalau rasa itu bukan diri saya sebenarnya, saya tidak akan buat. Saya ada prinsip sendiri.

“Namun, kalau bayaran sedikit tetapi impaknya positif dan dapat lagu bagus serta apa yang saya inginkan, saya tetap akan buat. Itu yang saya terapkan selama ini,” jelasnya.

Shiha mengulas berhubung trend lagu raya dijayakan bukan penyanyi sebenar yang sengaja mencetus publisiti murahan.

Usahawan kosmetik tanah air yang sering mencetuskan kontroversi sekali lagi muncul dengan sebuah video raya yang rancak dinyanyikan sambil menari dan diiringi empat penari lelaki.

Namun, menjadi perhatian apabila mereka mengenakan persalinan ketat seakan-akan baju renang dan dipadankan bersama songkok serta samping.

Malah, lenggok tarian yang disifatkan ramai sebagai terkinja-kinja juga didakwa tidak bersesuaian dengan lagu berkonsepkan Syawal, apatah lagi dikongsikan pada bulan Ramadan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN