Guna Akta 715 hentikan penindasan pemandu teksi, e-hailing

Guna Akta 715 hentikan penindasan pemandu teksi, e-hailing

Pemandu teksi kini lebih banyak menunggu ekoran permintaan berkurangan ekoran saingan daripada perkhidmatan e-hailing. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) mahu kerajaan menggunakan Akta 715 bagi mengakhiri manipulasi dan penindasan yang masih berlarutan di dalam industri teksi dan e-hailing di negara ini.

Yang Dipertuanya, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan mengawal selia kadar bayaran penghantaran barangan dan makanan bagi industri p-hailing seperti dimaklumkan di Dewan Negara semalam.

Beliau berkata, selaras itu, pihaknya juga mahu nasib pemandu teksi dan e-hailing turut mendapat pembelaan sama menerusi pindaan Akta 715, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 itu.

“Pindaan akta itu membolehkan kebajikan penunggang p-hailing lebih terjamin dan sekali gus mengakhiri perbuatan tidak bertanggungjawab syarikat yang selama ini manipulasi mereka.

“Sekalipun kami beroperasi di dalam industri teksi, namun kami turut merasai keperitan yang dihadapi oleh rakan-rakan p-hailing, malah kami pernah bergabung dua tahun lalu dalam menuntut kerajaan mengawal selia kadar pendapatan pekerja p-hailing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata, e-hailing suatu ketika dahulu dianggap pekerjaan sampingan, namun hari ini ia menjadi pekerjaan tetap, justeru sudah tiba masanya pemandu teksi dan e-hailing dilayan sama rata.

“Kami juga berharap kerajaan akan memperhalusi serta mencerakinkan cadangan kami supaya kerajaan memiliki sendiri aplikasi e-hailing untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dibawah pentadbiran Kerajaan Madani,” katanya.

Semalam, Dewan Negara memaklumkan, pendapatan penunggang p-hailing akan dikawal selia oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mengatasi isu manipulasi atau penindasan pendapatan pekerja oleh syarikat penyedia perkhidmatan selaras dengan Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 yang diluluskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN