PETALING JAYA: Gelisah, marah dan sawan antara simpton seseorang itu mengalami strok haba akibat mempunyai suhu badan melebihi daripada 40 darjah selsius.
Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama memberi risiko kepada manusia terutama golongan kanak-kanak dan warga emas.
“Apabila terdedah atau terperangkap kepada cuaca panas terlalu lama, risiko untuk terjadi strok haba itu tinggi seperti mereka yang membawa motosikal dan kenderaan yang tidak mempunyai pendingin hawa.
“Suhu panas mampu merosakkan organ badan, salur darah mengecut dan menyebabkan seseorang itu boleh pengsan.
“Strok haba akan terjadi kepada mereka yang mempunyai suhu badan lebih daripada 40 darjah selsius, antara simptom yang mungkin boleh terjadi adalah seperti gelisah, marah dan boleh sawan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, kata Sharifa Ezat, kadangkala seseorang yang terkena strok haba sudah mengalami masalah kesihatan sebelum itu.
Kata beliau, antara langkah yang boleh diambil adalah jangan terdedah kepada cuaca panas terlalu lama dan minum air secukupnya.
“Gunakan pakaian yang sesuai dan selesa seperti longgar dan baju yang serap peluh. Jika terasa terlalu panas dan sudah terkena strok haba boleh membuat tindakan pantas dengan membawa mangsa ke tempat yang lebih sejuk suhunya, spray air di anggota badan, tuala basah atau gunakan Cooling Pad,” katanya.
Sementara itu, pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Prof. Madya Dr Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani berkata, strok haba berlaku kerana suhu badan yang terlampau panas akibat pendedahan yang berpanjangan kepada suhu yang tinggi.
“Keadaan ini berlaku dalam musim panas apabila suhu badan melebihi 40 selsius yang akan menyebabkan kerosakan organ-organ lain seperti buah pinggang dan menjejaskan fungsi otak, jantung dan lain-lain sistem badan.
“Kanak-kanak berisiko daripada orang dewasa untuk mendapat strok haba kerana sistem saraf tunjang yang mengawal suhu badan dan haba yang belum cukup matang,” katanya
Selain itu, beliau berkata, warga emas turut berisiko tinggi mendapat strok haba kerana kurangnya fungsi kawalan suhu badan dan haba mereka akibat proses penuaan.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam, Datuk Zainal Arifin Omar berkata, cuaca panas yang ditambah dengan penyakit lain seperti cirit-birit boleh menyebabkan kekurangan air dan dehidrasi yang serius.
“Nasihat saya kepada ibu bapa kurangkan aktiviti anak-anak yang terdedah terus kepada cahaya matahari, banyakkan minum air dan selalu basahkan badan.
“Jika mereka kurang sihat seperti demam atau ada penyakit lain seperti jangkitan saluran pernafasan dan cirit-birit jangan biarkan mereka terlalu aktif dan terdedah kepada cahaya matahari dalam jangka masa yang panjang,” katanya. – UTUSAN