Gagal 'terbang' umrah, bakal jemaah jumpa SPRM

Gagal ‘terbang’ umrah, bakal jemaah jumpa SPRM

SEBAHAGIAN mangsa umrah hadir di SPRM bagi memohon siasatan salah sebuah syarikat agensi umrah di SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah syarikat pengendali umrah dan haji terus menjadi perhatian apabila sekumpulan bakal jemaah yang membuat tempahan umrah dengan agensi berkenaan tampil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di sini.

Kira-kira 15 orang bakal jemaah umrah tersebut mula berkumpul di pekarangan SPRM pada pukul 9.30 pagi dipercayai untuk membuat laporan kepada suruhanjaya berkenaan.

Salah seorang mangsa, Rusman Abu Samah, 55, dari Hulu Langat berkata, hasratnya bersama isteri untuk mengerjakan umrah pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan tidak kesampaian apabila menerima makluman tentang pembatalan tempahan yang dibuat pada saat-saat akhir.

Jelas Rusman, dia sudah menjelaskan bayaran penuh kira-kira RM42,000 kepada syarikat berkenaan pada Februari lalu sebelum menerima perkhabaran duka daripada agensi menerusi sidang Zoom pada Ahad.

“(Syarikat) kata segala pakej umrah di bulan Ramadan dibatalkan atau ditangguhkan. Kami tak tahu sebab dan tak nak tahu sebab (apa) kerana itu hal mereka, kami cuma mahu pergi umrah pada bulan Ramadan (dan) tak nak dengar apa sebab mereka.

“Sepatutnya kalau syarikat gagal bagi (jemaah berlepas), mereka perlu maklumkan seawal yang mungkin, bukannya maklumkan bila dah masuk bulan puasa kerana kami mahu beriktikaf 10 malam terakhir di sana,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai laporan yang dibuat, Rusman memaklumkan, dia bersama bakal jemaah yang lain hadir ke SPRM hanya bertujuan untuk meminta pandangan, namun enggan mengulas secara lebih lanjut.

“Kami tak nak ulas bab (laporan) SPRM, kami (hanya) minta pandangan, tiada laporan yang difailkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rusman berkata, dipercayai terdapat kira-kira 200 bakal jemaah yang terkesan dan tidak dapat menunaikan umrah buat masa ini dengan anggaran kerugian sekitar RM2 juta.

Katanya, apa yang dirayu oleh semua bakal jemaah ketika ini supaya syarikat berkenaan dapat melangsaikan semua pembayaran balik kepada pelanggan-pelanggan mereka yang membuat tempahan.

“Kami mahu (syarikat) bayar segera kepada semua, saya mewakili bakal ahli jemaah yang terkesan dan sudah jelaskan pembayaran penuh, bukan sikit-sikit tapi libatkan puluhan ribu ringgit.

“Jangan beri (pelbagai) alasan seperti umrah boleh sekali, Raudah penuh, bagi kami itu hanya alasan yang tidak kukuh. (Mereka) kata tiada tiket bagi saya itu satu penipuan sebab syarikat lain boleh, saya tengok (laman web) boleh tempah tiket dan hotel online, jadi bagi kami itu alasan yang tak boleh diterima langsung,” tegasnya.

Nama agensi berkenaan sering disebut-sebut sejak akhir-akhir ini selepas timbul pelbagai dakwaan daripada mangsa yang mengatakan mereka gagal diterbangkan untuk menunaikan umrah.

Media sebelum ini turut melaporkan terdapat beberapa bakal jemaah yang hadir ke ibu pejabat agensi berkenaan di Putrajaya untuk melakukan tunjuk perasaan selain membuat laporan polis selepas tidak mendapat maklum balas mengenai tempahan yang dibuat.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya