Exco Melaka: Tujuh dijangka kekal, dua gugur

Exco Melaka: Tujuh dijangka kekal, dua gugur

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) membaca al-Quran pada Program Ihya Ramadan al-Mubarak Tadarus al-Quran Perdana Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pembentukan barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang baharu bakal menyaksikan penubuhan kerajaan negeri perpaduan ketiga selepas Pahang dan Perak, meskipun Melaka tidak melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Antara sembilan bekas Exco di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebelum ini, tujuh daripadanya dijangka kekal dan dua lagi digugurkan bagi memberi peluang kepada muka baharu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH).

Mingguan Malaysia difahamkan, bekas Exco yang dijangka digugurkan ialah ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka.

Satu lagi nama yang disebut-disebut ialah ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka.

Nama Muhammad Jailani menjadi tumpuan selepas beliau menjadi satu-satunya bekas Exco yang lantang mengkritik isu perubahan tampuk kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, sejak Isnin lalu.

Beliau secara terbuka menyifatkan Ketua Menteri Melaka yang bakal menggantikan Sulaiman sebagai ‘Ketua Menteri tebuk atap’ atau ‘Ketua Menteri pintu belakang’.

Perkara itu turut mendapat respons Ketua Menteri Melaka Ke-13, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dalam sidang akhbar pertamanya selepas Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia, kelmarin.

Ab. Rauf berkata, nasib Muhammad Jailani sama ada masih diperlukan atau sebaliknya akan diketahui sebelum esok.

Dalam pada itu, pengguguran Zaidi dikatakan dibuat setelah mengambil kira kedudukan terkininya dalam UMNO Bahagian Jasin berikutan tewas pada Pemilihan UMNO 2023 bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian.

Tujuh bekas Exco yang dijangka kekal ialah ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman (Naib Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya); ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka); ADUN Gadek, VP. Shanmugam (wakil MIC) dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin (Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya).

Ia diikuti ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh (Ketua UMNO Bahagian Jasin); ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin (Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu) dan ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem (wakil MCA).

Sementara itu, di BAGAN DATUK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, barisan Exco Melaka yang akan dilantik nanti seharusnya menggambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat Persekutuan.

“Walaupun kita tahu di Melaka UMNO dan BN memperolehi tiga per empat suara majoriti di negeri itu, alangkah baiknya Kerajaan Melaka dapat menggambarkan kebersamaan dan juga perkongsian kuasa seperti kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ihya Ramadan al-Mubarak Tadarus al-Quran Perdana Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN