Empat daerah di Kedah antara lapan kawasan catat cuaca tahap satu

Empat daerah di Kedah antara lapan kawasan catat cuaca tahap satu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Padang Terap dan Pendang di Kedah antara lapan kawasan yang berada pada kategori tahap satu atau berjaga-jaga iaitu suhu maksimum harian 35 sehingga 37 darjah selsius.

Status cuaca panas Jabatan Meteorologi pada pukul 4.30 petang semalam itu turut merekodkan kawasan Tanah Merah, Pasir Mas di Kelantan; Besut, Terengganu dan Nabawan di Sabah berada pada kategori tahap satu. 

Kawasan lain masih berada pada suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah selsius dan tiada kawasan berada pada tahap dua (gelombang haba) dan tahap tiga (gelombang ekstrem haba).

Sementara itu, berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 11 pagi hari ini, tiada kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Sebanyak 39 stesen pula mencatatkan bacaan IPU baik manakala 29 kawasan sederhana.

Sebagai rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, fenomena bahang dan cuaca panas yang melanda disebabkan pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari dan taburan hujan yang kurang.

Beliau berkata, beberapa hari ini cuaca lebih panas daripada biasa, tetapi, keadaan ini tidak akan berlarutan terlalu lama kerana hujan dijangka berlaku di kebanyakan tempat dalam beberapa hari lagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN