Empat cedera kereta terbabas cuba larikan diri dari polis

Empat cedera kereta terbabas cuba larikan diri dari polis

ANGGOTA bomba k cuba mengeluarkan seorang daripada empat mangsa yang terlibat dalam kemalangan kereta di Lebuhraya Utara Selatan dekat Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat termasuk seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan ketika dipercayai cuba melarikan diri daripada polis di Lebuhraya Utara Selatan dekat Putra Heights di sini, awal pagi ini.

Dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an sehingga 30-an cedera parah serta masih tidak sedarkan diri di hospital manakala kanak-kanak berusia empat tahun itu cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku pada 1.05 pagi apabila kereta peronda polis yang menjalankan rondaan terserempak kereta Proton Satria dinaiki empat individu dalam keadaan mencurigakan di USJ.

Beliau berkata, polis mengekori kereta itu sambil membunyikan siren dan menyalakan lampu biru untuk mengarahkan berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

“Bagaimanapun pemandu enggan berhenti dan melarikan diri sehingga melanggar palang di Plaza Tol Seafield.

“Ketika di persimpangan keluar Putra Heights, kereta suspek membelok secara agresif dan hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan mendapati terdapat dua lelaki dan seorang wanita cedera parah serta seorang kanak-kanak lelaki cedera ringan.

Katanya, kesemua mereka dibawa ke Hospital Putrajaya oleh ambulans untuk rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek melarikan diri kerana kereta digunakan dilaporkan hilang di kawasan Shah Alam.

“Malah semakan juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan seorang daripada suspek masih dikehendaki bersabit kes dadah di Hulu Selangor,” katanya.

Wan Azlan berkata, buat masa ini kesemua suspek belum ditahan kerana masih tidak sedarkan diri dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang di talian 03-78627100.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya