Edar dadah: Dua lelaki berdepan hukuman mati - Utusan Malaysia

Edar dadah: Dua lelaki berdepan hukuman mati

DUA lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Gemas, Tampin bagi didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah di sebuah kebun getah di Felda Jelai 4, Gemas, Tampin hujung bulan lalu. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Dua lelaki berdepan hukuman mati selepas didakwa mengedar dadah di sebuah kebun getah di Felda Jelai 4, Gemas di sini pada hujung bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Ikmal Hafsham Muhammad Shukor dan Zulhisyam Zainal, masing-masing berusia 39 tahun, dituduh di Mahkamah Majistret Gemas semalam.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan pertama yang dibacakan secara bersama, kedua-dua tertuduh didapati mengedar dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat 300 gram.

Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua mereka didapati mengedar dadah berbahaya jenis syabu dengan anggaran berat 50 gram.

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan pada 31 Mac lalu di sebuah kebun getah di Felda Jelai 4, Gemas, kira-kira pukul 10.30 pagi.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama iaitu hukuman mati.

Jika tidak dihukum mati, mereka boleh dipenjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Zulhisyam turut didakwa mema­sukkan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine di Dewan Perumahan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin pada pukul 9.20 pagi, 1 April 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1)(a) dan dibaca bersama Seksyen 38B akta sama. Dia bagaimana­pun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, seorang lagi lelaki, Muhamad Firdaus Abdul Hamid, 30, turut dituduh mengedar dadah jenis heroin dengan anggaran berat 30 gram pada 3 April lalu di kebun sawit Felda Pasir Besar di sini kira-kira pukul 4.30 petang.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh serahan laporan kimia bagi ketiga-tiga tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya