Dua  smartlane diaktif elak kesesakan

Dua  smartlane diaktif elak kesesakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua laluan smartlane di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) diaktifkan sebagai langkah penyuraian kesesakan susulan aliran jumlah kenderaan yang tinggi dari arah selatan, utara dan timur menuju ke ibu kota hari ini.

Dua laluan terlibat iaitu Kilometer (KM) 259 persimpangan Port Dickson sehingga persimpangan Seremban (Arah Utara) di KM 263 dan persimpangan Senai hingga Persimpangan Kulai (Arah Utara).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, pengaktifan laluan itu bagi memastikan aliran trafik lancar untuk pengguna jalan raya dan lebuh raya utama pulang semula ke Lembah Klang selepas berakhirnya cuti umum Aidilfitri dan pengecualian Tol Rahmah.

Kata beliau, aliran jumlah kenderaan yang tinggi menyebabkan berlakunya kesesakan di sesetengah tempat seperti di kawasan mendaki dan penukaran tiga kepada dua lorong.

Ujarnya, PDRM dan pihak konsesi lebuh raya terlibat serta Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) sentiasa bekerjasama agar kesesakan yang berlaku dapat diminimumkan.

“JSPT mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kemalangan atau kesesakan luar biasa daripada semua pengguna jalan raya.

“Maklumat boleh disalurkan di bilik gerakan trafik, Bukit Aman di talian 03-22663356 yang bertugas 24 jam setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, PDRM kekal komited  memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai yang mempamerkan kerjasama dan sikap berhemah yang terbaik kepada pihak berkuasa sepanjang Op Selamat 20.

Jelas beliau, petugas JSPT di lapangan  berada di lokasi-lokasi hotspot lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan bandaran yang berlaku kesesakan.

“Elemen keanggotaan balai, kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Dron (PGU) PDRM turut diatur secara sistematik bagi memastikan aliran trafik lancar dan terkawal,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN