PETALING JAYA: Dua pengurus syarikat cari gali minyak, PetroSaudi International akan dihadapkan ke mahkamah di Switzerland berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pendakwaan itu difailkan di Mahkamah Jenayah Persekutuan oleh Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) setelah kedua-dua tertuduh itu disyaki memperkayakan diri dan menyeleweng wang sekurang-kurangnya AS$1.8 bilion diperoleh dari 1MDB melalui syarikat usaha sama dengan PetroSaudi yang dimeterai untuk tujuan pelaburan dalam dan luar negara.
Menurut OAG, kerjasama itu kemudian bertukar menjadi pinjaman Islamik antara kedua-dua belah pihak sebelum wang tersebut diseleweng, melibatkan tiga kesalahan iaitu penipuan komersial, jenayah salah urus dan pengubahan wang haram meliputi tempoh sekurang-kurangnya dari 2009 hingga 2015.
“Kontrak antara 1MDB dan PetroSaudi menubuhkan syarikat usaha sama memerlukan suntikan dana kedua-dua pihak. Dengan itu 1MDB menyediakan wang tunai AS$1 bilion dan PetroSaudi menyediakan aset bernilai AS$2.7 bilion, jumlah yang sebenarnya tidak dimiliki oleh syarikat usaha sama itu.
“Daripada AS$1 bilion yang dibayar oleh 1MDB dan bertentangan dengan apa yang telah dibenarkan oleh Lembaga Pengarah 1MDB, AS$700 juta telah dipindahkan ke akaun yang dibuka di sebuah bank di Switzerland atas nama sebuah syarikat yang pemiliknya ialah Low Taek Jho,” kata OAG dalam kenyataan.
Katanya, daripada dana itu, Low memindahkan AS$85 juta kepada salah seorang tertuduh, yang seterusnya memindahkan AS$33 juta daripada jumlah itu kepada tertuduh yang lain manakala baki AS$300 juta telah dipindahkan ke akaun syarikat usaha sama itu di sebuah bank di Switzerland.
Di samping itu, kedua-dua tertuduh, bertindak bersama Jho Low sekali lagi mendorong Lembaga Pengarah 1MDB membenarkan tambahan dana dengan pemindahan berjumlah AS$830 juta antara September 2010 dan Oktober 2011 sebagai sebahagian pinjaman Islamik untuk syarikat usaha sama tersebut.
Kedua-dua tertuduh didakwa menggunakan wang yang diselewengkan daripada 1MDB untuk memperoleh, antara lain aset, hartanah di Switzerland dan di London, barang kemas, ekuiti persendirian untuk membangunkan aktiviti PetroSaudi yang mana mereka menerima pendapatan yang besar dan menjalani gaya hidup mewah.
“OAG mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa pendakwaan di Amerika Syarikat, Malaysia, United Kingdom, Singapura, Jersey, Kanada dan Barbados atas kerjasama yang sangat baik,” katanya.
OAG berkata, pihaknya akan mengemukakan kesimpulan pendakwaan, termasuk permintaan untuk pelucutan aset pada sesi pendengaran di mahkamah yang berjumlah sekitar CHF 192 juta (RM960 juta), tidak termasuk hartanah yang dirampas di Switzerland dan London.
Bagaimanapun, OAG berkata, ini bukanlah satu-satu kes melibatkan 1MDB di Switzerland, sebaliknya ada beberapa kes yang akan dihadapkan ke mahkamah kelak.
Antaranya, prosiding jenayah terhadap dua bekas pegawai 1MDB, salah laku dalam pejabat kerajaan, jenayah salah urus, pemalsuan dokumen, rasuah pegawai kerajaan negara asing dan pengubahan wang haram. – UTUSAN