Doktor tak patut bawa kemudaratan - Utusan Malaysia

Doktor tak patut bawa kemudaratan

Sebanyak 1,118 doktor kontrak daripada 5,489 yang ditawarkan sebagai pegawai perubatan tetap menolak tawaran tersebut. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan doktor kontrak yang ingin menyertai program mogok, Isnin ini diingatkan untuk memba­talkan hasrat kerana ia akan membawa kemudaratan terhadap pesakit.

Timbalan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Prof. Dr. Jamalludin Ab Rahman berkata, rasa tidak puas hati dan tidak percaya oleh pegawai-pegawai perubatan kepada kerajaan itu wajar serta tidak boleh dinafikan.

Namun menurut beliau, setiap doktor tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang membawa kemudaratan kepada orang awam seperti di dalam ikrar dilafazkan mahupun dijanjikan sejak awal perkhidmatan.

“Memang apa mereka minta itu wajar, tetapi tindakan untuk mogok itu tidak. Sebagai seorang doktor, saya tak boleh terima kerana kita tidak sepatutnya menyebabkan kemudaratan kepada orang lain.

“Memang doktor-doktor tersebut merasakan seolah-olah sudah menemui jalan buntu, kerajaan juga sedaya upaya memenuhi permintaan mereka tetapi kita kena faham ekonomi negara bukan mudah untuk dibina.

“Saya tidak mahu pertahankan bagaimana kerajaan menjalankan tugas mereka tetapi sebagai doktor tindakan mogok itu bukan sahaja membawa kemudaratan ke pesakit tetapi juga menyebabkan doktor yang tidak terlibat tertekan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu akhbar ini me­laporkan, penganjur kempen mogok doktor kontrak menasihatkan orang awam supaya tidak mengunjungi hospital awam dan klinik-klinik kesihatan pada minggu depan kerana mereka berkemungkinan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

Akaun @mogokdoktormalaysia mendakwa sehingga kini terdapat kira-kira 10,000 doktor kontrak termasuk house officer yang akan turut menyertai mereka melakukan mogok.

Malah terdapat satu hantaran di akaun tersebut mendakwa mereka mendapat pesanan daripada pihak atasan yang membekukan cuti doktor-doktor pada awal April tersebut dan dipercayai ia sebagai langkah untuk mengelakkan kempen mogok itu berjaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya