KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 53 tahun dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan melepas anjing peliharaannya sehingga menyebabkan kecederaan parah pada orang lain.
Mengikut pertuduhan, N. Trini Emmanuel Nettar didakwa telah mendatangkan bahaya atau musibah kepada seorang wanita berusia 35 tahun dengan cara melepaskan seekor anjing peliharaannya jenis Belgian Shepherd.
Kejadian itu telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 7.30 malam, 16 April lalu di hadapan sebuah rumah di Jalan Nangka, Off Jalan Kovil Hilir Perhentian, Sentul di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Terdahulu, ketika mengemukakan rayuan, Trini Emmanuel yang tidak diwakili peguam bela, memohon agar dikenakan hukuman denda yang minimum memandangkan dia tidak lagi bekerja dan perlu menanggung keluarganya.
Bapa kepada empat anak itu juga meminta maaf kepada semua pihak atas perbuatannya itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Johar memohon agar tertuduh telah mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa.
“Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara dikenakan agar memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya menjaga haiwan peliharaan mereka,” kata Amalina.
Selepas menjatuhkan hukuman penjara sebulan, Majistret Nurul Izzah Shaharuddin turut mengarahkan agar hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan, 18 April lalu. – UTUSAN