KOTA BHARU: Seorang buruh kasar yang tular melakukan aksi ‘wheelie’ pada 1 Syawal lalu, mengaku bersalah melakukan aksi itu di Mahkamah Majistret hari ini.
Tertuduh, berusia ,17, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 22 April lalu lebih kurang pukul 12 tengahari di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu telah menunggang motosikal jenis Honda dengan cara mengangkat tayar hadapan di mana aksi tersebut berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Jika sabit kesalahan, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan didenda tidak kurang RM 5,000 dan tidak lebih RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad, manakala remaja tersebut diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kelantan, Nor Zaimah Mohamed.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM 900 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pasangan pasangan suami isteri remaja, diminta tampil menyerah diri di balai polis bagi membantu siasatan menunggang motosikal secara berbahaya.
Remaja berkenaan masing-masing berusia 17 dan 16 tahun kemudian ditahan di Unit 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.-utusan