BN-PH di peringkat akhir bahagi kerusi di Kedah

BN-PH di peringkat akhir bahagi kerusi di Kedah

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) ketika melawat dan meninjau rumah mangsa banjir Kampung Iboi yang telah siap dibina oleh KEDA di Desa KEDA Sadek, Kupang di Baling. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) hampir diselesaikan kedua-dua gabungan itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembahagian kerusi di lima lagi negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang juga sedang dimuktamadkan.

“Kita hampir memuktamadkan pembahagian kerusi untuk negeri Kedah dan lain-lain negeri pula (akan diselesaikan) apabila saya berada di negeri berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah meninjau rumah berkembar Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) di penempatan Desa KEDA Sadek, di sini.

Penempatan tersebut antara insiatif kementerian dalam membantu mangsa bencana banjir kepala air di Kampung Iboi, di sini pada Julai tahun lalu.

Pada 15 April lalu, Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan yang terdiri daripada BN dan PH sudah 80 peratus selesai mengagihkan kerusi di enam buah negeri yang terlibat PRN.

Dalam pada itu, kerajaan secara dasar bersedia memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang hanya bagi tujuan pentadbiran sahaja.

Ahmad Zahid berkata, rundingan berkaitan perkara itu sedang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Perkara itu Timbalan Perdana Menteri II yang uruskan, beliau yang mengadakan siri perbincangan bersama wakil pembangkang bagi memuktamadkan keputusan.

“Di peringkat awal kita setuju (beri peruntukan) untuk perbelanjaan pentadbiran. Ianya akan dimuktamadkan sebelum pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri setelah semua (proses rundingan) selesai,” katanya.

Sebelum ini, Fadillah memaklumkan kerajaan tidak menetapkan sebarang syarat kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan agihan peruntukan disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau yang ditugaskan berunding bersama wakil pembangkang dilaporkan berkata, kerajaan hanya mahu pembangkang mengemukakan tawaran rasmi dalam urusan itu seperti yang dilakukan ketika pentadbiran diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya