SUNGAI BULOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak termasuk badan hak asasi manusia, Suaram supaya mempelajari daripada kesilapan kerajaan terdahulu yang cuba meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu mengulangi kesilapan tersebut dengan melakukan pembaharuan drastik terhadap undang-undang sedia ada serta reformasi institusi dalam keadaan terburu-buru tanpa mengambil kira pandangan semua pihak.
“Kita telah melihat kesilapan ICERD, nak ketengahkan agenda, tapi anggap semua orang faham dan tidak menjelaskan kepada orang Melayu yang berpusat di kawasan luar bandar, penting mereka menyedari bahawa ini adalah kerajaan yang mesti mewakili semua rakyat.
“Kita komited dengan isu-isu hak asasi manusia, kita melakukan reformasi institusi, setiap undang-undang kita lihat, tetapi perlu beri masa, untuk mengadili dengan cara ini, saya rasa tidak bijak,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Suaram yang menyifatkan Anwar perlu melakukan pembaharuan segera atau berisiko untuk digelar Perdana Menteri paling teruk dalam sejarah.
“Saya menasihati mereka untuk belajar daripada pengalaman ICERD, ia adalah satu kesilapan politik, bukan kerana soal undang-undang semata-mata tetapi kerana keangkuhan kuasa.
“Dengan menganggap semua orang mesti menyokong kita tanpa membuat percubaan serius untuk menjelaskan kepada akar umbi, jadi saya belajar daripada peristiwa itu daripada Perdana Menteri terdahulu dan menteri terdahulu,” katanya.
Katanya, beliau tetap mengambil kira sebarang kritikan yang dilontarkan kepadanya, namun enggan membuat keputusan yang boleh menjejaskan kerajaan dan karier politiknya.
“Saya mendengar (kritikan) dan kita telah memansuhkan hukuman mati mandatori, yang merupakan satu pencapaian besar.
“Jadi, saya menasihatkan Suaram supaya lebih menyokong atau sekurang-kurangnya objektif dengan kritikan mereka, kita tidak boleh mengubah undang-undang negara (begitu sahaja), jika kita buat, maka saya akan kalah semua pilihan raya negeri,” katanya. – UTUSAN