Bank BSI tidak fail laporan transaksi mencurigakan dana 1MDB

Bank BSI tidak fail laporan transaksi mencurigakan dana 1MDB

NAJIB Tun Razak dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, Bank BSI (Singapura) tidak memfailkan laporan transaksi mencurigakan kepada polis republik itu meskipun urus niaga dana fidusiari berskala besar disalah guna oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kevin Michael Swampillai berkata, urus niaga 1MDB serta syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya menimbulkan tanda-tanda amaran kerana ia melibatkan individu yang terdedah secara politik di Malaysia.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan di Bank BSI Cawangan Singapura berkata, kebiasaannya kerajaan terlibat memilih bank komersial atau bank pelaburan bagi urus niaga fidusiari, bukan bank yang lebih kecil secara relatif.

Saksi pendakwaan ke-44 itu berkata, pihak bank akan memfailkan laporan transaksi mencurigakan kepada polis jabatan komersial jika wujud tanda-tanda amaran yang mana menyebabkan akaun berkenaan ditutup dan transaksi urus niaga dihentikan.

Ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, Kevin memberitahu, pihak Bank BSI bagaimanapun tidak memfailkan laporan tersebut kerana isu berkaitan tanda amaran tidak dibangkitkan oleh Lembaga Pengarah 1MDB.

Pada perbicaraan lalu, Kevin memberitahu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengetahui urus niaga dana fidusiari oleh 1MDB kerana beliau merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat tersebut yang ketika itu dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

Ujarnya, urus niaga dana fidusiari 1MDB diuruskan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi mengaburi pihak berkepentingan di Malaysia.

Menurut Kevin, Jho Low secara berterusan mengaku kepada BSI bahawa beliau merupakan penasihat kepada Najib.

Ujar saksi, Jho Low secara konsisten turut memberi jawapan kepada pihak bank bahawa urus niaga itu merupakan pelaburan antara kerajaan yang sangat sulit yang menghalang maklumat lanjut diberikan.

Mahkamah turut diberitahu melalui keterangan lisan Kevin bahawa beliau dan beberapa pihak lain di BSI berurusan dengan Jho Low yang melabur berbilion dolar dana 1MDB dan syarikat berkaitan lain dalam kaedah kabur melibatkan lapisan transaksi dan menyembunyikan identiti syarikat pelanggan.

Pada prosiding semalam, Kevin berkata, sumber bagi urusniaga dana fidusiari sepatutnya tidak dikaburi sebaliknya akan dibawa kepada pengetahuan BSI Singapura yang mana pihak bank akan membuat semakan terperinci berhubung arahan dan pihak mengeluarkan arahan.

Saksi memberitahu, pihak BSI mendapati dana yang terlibat adalah samar-samar manakala entitinya termasuk British Virgin Islands (BVI) dan Cayman Islands tidak pernah didengar sebelum ini sehingga menimbulkan tanda-tanda amaran kepada pihak bank.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Najib yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN