Baik pulih segera laluan FT64A Jerantut-Benta - Utusan Malaysia

Baik pulih segera laluan FT64A Jerantut-Benta

PENGUSAHA lori kerugian sekitar RM150,000 apabila dua buah lori miliknya terlibat dalam kemalangan dalam dua kejadian berbeza ketika melalui jalan alternatif dengan bukit tinggi di Jalan Kerambit-Limau Purut-Mela menuju ke Benta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pengusaha lori menggesa kerajaan segera membaik pulih laluan utama Jalan Jerantut ke Benta di laluan FT64A yang ditutup kepada semua jenis kenderaan berat dalam tempoh hampir empat bulan.

Penutupan jalan itu berikutan terdapat kerosakan pada pembetung dan struktur jalan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusaha terbabit, Mohd. Norodzaime Affandy Mohd. Rodzi, 36, berkata, kenderaan berat tidak sesuai menggunakan laluan alternatif di laluan Jalan Kerambit-Limau Purut-Mela menuju ke Benta.

Jelasnya, sejak dua minggu lalu, sudah dua lori membawa muatan sawit miliknya terbabit kemalangan di laluan tersebut sehingga mengakibatkan kerugian RM150,000.

“Kejadian pertama dua minggu lalu apabila lori milik saya tak lepas menaiki bukit di laluan itu sehingga ia mengundur dan terbabas ke tepi jalan.

“Kejadian kedua ming­gu lalu membabitkan sebuah lagi lori milik saya yang tidak lepas menaiki bukit tinggi sehingga ia melintang ke jalan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, pernah berlaku kejadian lori tidak lepas melalui jalan tersebut dan mengundur sehingga melanggar beberapa buah kenderaan.

“Kalau tak silap saya dalam lima buah kereta rosak dalam kejadian itu justeru saya merasakan tidak sesuai kenderaan berat terutama lori menggunakan laluan terbabit,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta kerajaan menyegerakan kerja-kerja pembaikan jalan Jerantut ke Benta di laluan FT64A untuk keselesaan semua pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN