Amelia Henderson diperintah bayar lebih RM200,00

Langgar kontrak: Amelia Henderson diperintah bayar lebih RM200,000

AMELIA Henderson ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon Amelia Henderson perlu membayar ganti rugi melebihi RM200,000 kepada syarikat produksi milik A. Aida selepas didapati melanggar kontrak lakonan.

Jumlah tersebut bukan sahaja melibatkan ganti rugi am tetapi turut membabitkan kos penggambaran yang telah dikeluarkan oleh A. Aida atau Datuk Zaidah Awang, 53.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson didapati jelas melanggar terma-terma kontrak dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

“Mahkamah telah meneliti kontrak yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak (plaintif dan defendan). Menolak terma kontrak bukan lagi suatu pilihan, tiada alternatif pada defendan setelah menurunkan tandatangan, defendan hendaklah menunaikan kontrak.

“Dengan perkataan lain, hanya satu pilihan pada defendan iaitu tunaikan kontrak yang ditandatangani. Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah berpuas hati plaintif (A. Aida Production Sdn. Bhd.) berjaya membuktikan tuntutan,” kata hakim itu.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan Amelia untuk memulangkan bayaran pertama yang diterima selepas menandatangani kontrak sebanyak RM3,920 dengan faedah sebanyak lima peratus setahun daripada tarikh kontrak ditandatangani iaitu 15 Julai 2022 sehingga penyelesaian penuh.

Amelia juga diperintah untuk membayar kos penggambaran sebanyak RM101,325.00 dengan faedah sebanyak lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga pembayaran penuh.

Selain itu, mahkamah turut mendapati bahawa kenyataan yang dibuat oleh pelakon utama drama Cik Ayu Mee Sanggul dalam laman sosial Instagram miliknya telah memfitnah dan mengaibkan plaintif.

“Ganti rugi am fitnah dibenarkan RM90,000 dan injunksi mengenai fitnah dibenarkan. Defendan pertama (Amelia) perlu memadam video dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini (semalam) dan meminta maaf kepada plaintif dalam tempoh sama di laman Instagram defendan,” kata hakim itu ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Mahkamah turut memerintahkan Amelia membayar kos sebanyak RM18,000.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November 2022, seramai tiga saksi plaintif termasuk Aida dan tiga saksi defendan termasuk Amelia hadir memberi keterangan.

Ketika perbicaraan sebelum ini, seorang pengurus syarikat produksi memberitahu mahkamah bahawa A. Aida Production Sdn. Bhd. terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.

Sementara itu, pelakon berkenaan menafikan melanggar kontrak yang ditawarkan untuk membintangi drama berjudul `Sekali Lagi Cinta Kembali.’

Amelia sebaliknya mendakwa, pihak produksi berkenaan tidak mengikut perjanjian awal sepertimana yang telah ditetapkan.

Pada peringkat awal, A. Aida turut menamakan seorang lagi pelakon drama itu, Idris Khan sebagai salah seorang defendan dalam tuntutan saman itu.

Bagaimanapun pada 22 November 2022, A. Aida dan Idris bersetuju untuk menyelesaikan kes itu secara baik di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN