PUTRAJAYA: Rayuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim berhubung akta antilompat parti Pulau Pinang ditetapkan untuk pengurusan kes pada 5 Mei ini.
Pada tarikh tersebut, Mahkamah Rayuan turut mengadakan pengurusan kes bagi tiga lagi ADUN negeri itu berhubung isu sama.
Mereka adalah Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam), dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).
Kesemua mereka memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memutuskan bahawa enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.
Dengan keputusan tersebut, kesemua ADUN tersebut perlu mengosongkan kerusi masing-masing.
Zulkifli dan Afif dipecat daripada PKR pada 2020 sebelum menyertai Bersatu sementara Khaliq dan Zolkifly adalah ahli Bersatu.
Pada 20 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak saman keempat-empat ADUN itu terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya berhubung usul yang diperkenal pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing.
Mereka kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 25 Januari lalu.
Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan keempat-empat ADUN bagi mendapatkan kebenaran mencabar kelayakan DUN Pulau Pinang meluluskan undang-undang anti lompat parti dan memerintahkan agar kes itu didengar berkaitan isu merit di Mahkamah Tinggi.
ADUN terbabit telah memfailkan sama pada 2020 bagi mencabar perlembagaan Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan menghalang kerusi mereka daripada diisytiharkan kosong selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 14A(1).
Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain. – UTUSAN