Air tiada ‘rentap’ kemeriahan Syawal - Utusan Malaysia

Air tiada ‘rentap’ kemeriahan Syawal

PENDUDUK di Sungai Petani mengisi air bersih yang dihantar oleh pihak Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) menggunakan lori.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Masalah bekalan air yang kritikal sejak sekian lama terus menghantui penghuni lebih 1,000 buah rumah sekitar Sungai Lalang, di sini setiap kali Aidilfitri.

Tinjauan mendapati, antara kawasan yang terjejas teruk adalah sekitar Taman Bukit Bayu, Taman Seri Bayu Fasa 1 dan Fasa 2, Taman Lembah Permai serta Taman Bandar Baharu.

Penduduk di Taman Seri Bayu Fasa 2, Azmi Sezali, 48, berkata, dia amat tertekan apabila terpaksa berterusan menghadapi situasi serupa ketika penduduk di kawasan lain gembira meraikan tetamu yang bertandang ke rumah pada hari raya.

“Hari raya pertama tidak ada air di rumah, tentulah kami sedih. Saya tidak gembira langsung kerana apabila keluarga dan rakan-rakan hadir ke rumah untuk beraya tetapi air tidak ada pula.

“Keadaan itu bukan sekadar menyukarkan kami nak menyediakan juadah raya dan memba­suh pinggan mangkuk tetapi kalau tetamu nak guna tandas pun kami pening kepala,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pada 17 April lalu, Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) menjangkakan berlaku peningkatan permintaan air melebihi 30 peratus oleh pengguna negeri ini disebabkan orang ramai pulang ke kampung masing-masing.

Gangguan bekalan air ditambah lagi dengan faktor cuaca kemarau yang dijangka berlarutan di beberapa kawasan sehingga penghujung April ini.

Seorang suri rumah di Taman Bandar Baharu, Anisa Azmi, 40, berkata, gangguan bekalan air di rumahnya mula berlaku sejak pukul 7 pagi, Sabtu lalu yang menyebabkan dia tidak dapat berbuat apa-apa pada raya pertama.

“Hendak masak pun susah apabila tidak ada air di rumah. Setiap tahun memang kita buat aduan kepada SADA tetapi nampak gaya kes sebegini belum tentu dapat diselesaikan dengan mudah kerana setiap kali raya berlaku,” katanya.

Pendapat sama turut dikongsikan Saniah Ibrahim, 61, yang tinggal di taman perumahan sama memandangkan ahli keluarganya yang pulang ke kampung sukar untuk mendapatkan bekalan air bersih.

“Setiap kali raya sudah pasti ramai ahli keluarga berkumpul untuk bergembira tetapi hakikat yang perlu dilalui kami berkongsi kesukaran dan kesedihan kerana waktu yang sama air tiada di rumah,” katanya.

Seorang penduduk di Kongsi 6, Zakaria Ismail, 50, berkata, gangguan air ke rumah penduduk sepanjang tempoh perayaan lebih kritikal pada waktu biasa walaupun SADA menyediakan pelan kontigensi termasuk menghantar bekalan air ke rumah penduduk.

“Ramai kaum-kaum ibu merungut ketika musim perayaan ini kerana air tidak ada di rumah masing-masing. Kami harap inilah tahun terakhir kami beraya dalam situasi sedih ini kerana kami juga mahu bergembira seperti orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN