Aidilfitri suram buat empat sekeluarga

Aidilfitri suram buat empat sekeluarga

NOOR Shakilatur Shida Mamat (dua dari kiri) dan anak-anak menunjukkan baju raya dibeli arwah suaminya sebelum meninggal dunia di rumah mereka di Kampung Tok Dor, Ajil, Hulu Terengganu, semalam. - FOTO/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi dirasakan suram bagi empat sekeluarga setelah insan bergelar ketua keluarga meninggal dunia akibat serangan jantung pada Selasa lalu.

Tambah memilukan bagi Noor Shakilatul Shida Mamat, 30, dari Kampung Tok Dor, Ajil di sini, suaminya, Ku Asmawi Ku Hamad, 37, tidak sempat melihat cahaya mata keempat mereka yang bakal dilahirkan.

Menurutnya, dia tidak dapat bayangkan suasana 1 Syawal nanti apatah lagi warna tema pakaian keluarga termasuk tiga anak, Ku Adam Mukhriz, 10; Ku Muhammad Haikal, 7, dan Ku Nur Aafiya Humaira, 4, adalah pilihan suaminya.

“Semuanya rasa seperti mimpi kerana sebelum itu kami baru sampai di rumah dari Kuala Berang membeli kelengkapan raya. Keadaannya baik cuma batuk-batuk sahaja.

“Suami juga teruja untuk terus cuba kemeja-T dibelinya sebaik sampai di rumah walaupun sebelum ini tidak pernah berbuat demikian. Tidak sampai satu jam selepas itu, tiba-tiba dia terjatuh terkena serangan jantung.

“Baju Melayu dan baju kurung kami anak-beranak juga telah siap dibeli pertengahan Ramadan baru-baru ini dengan warna tema pilihannya. Tidak sangka dia pergi tinggalkan kami semua,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi 010-5767799 atau menerusi akaun Bank Rakyat 2243534217 atas nama Noor Shakilatul Shida.

Tambah Noor Shakilatul Shida, suaminya mengidap lemah jantung sejak tiga tahun lepas dan sentiasa berulang alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dapatkan rawatan susulan.

Katanya lagi, tiada lagi nasi minyak dan sate yang biasanya menjadi hidangan keluarga di pagi Syawal nanti kerana masih bersedih dan fikirannya sarat memikirkan nasib anak-anaknya selepas ini.

“Sebelum ini, kami sekeluarga hanya harapkan suami yang bekerja sebagai pemandu kenderaan berat. Kini, saya dan anak-anak hilang tempat berpaut.

“Saya pula sarat mengandung lapan bulan, dijangka bersalin akhir Mei ini. Tentunya banyak perbelanjaan perlu dikeluarkan dan pilu rasanya kerana anak bakal dilahirkan nanti tidak sempat kenal ayahnya,” ujarnya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu ringankan beban Noor Shakilatul Shida boleh menghubungi di talian 010-5767799 atau menerusi akaun Bank Rakyat atas namanya bernombor 2243534217. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.