Aidilfitri: KPDN jamin bekalan barang kawalan cukup - Utusan Malaysia

Aidilfitri: KPDN jamin bekalan barang kawalan cukup

SALAHUDDIN Ayub pada Program Memacu Kehidupan di Hari Raya Aidilfitri Inisiatif bersama Bakul Rahmah di stesen minyak Petronas berhampiran Lebuhraya Kulim-Butterworth (BKE), Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan semua barang kawalan termasuk minyak masak paket bersubsidi mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jaminan itu diberi susulan dakwaan masih terdapat rungutan dalam kalangan pengguna mengenai masalah kekurangan barang kawalan itu di pasaran ketika ini.

Dalam isu melibatkan minyak masak paket itu, katanya, tidak timbul sebarang krisis dan bekalan yang disalurkan iaitu sehingga 60,000 metrik tan sebulan adalah mencukupi.

“Kita juga ada terima aduan dan mengakui memang terdapat kekurangan bekalan (minyak masak paket) dan ia berlaku di beberapa tempat pada masa tertentu.

“Tapi, kalau aduan itu kita terima cepat, dalam masa yang singkat juga, pegawai (KPDN) akan bertindak dan pastikan bekalan tersebut diperiksa. Kalau memang betul ada masalah, mereka (pegawai) akan usaha untuk dapatkan bekalan dari tempat lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika melancarkan Program Memacu Kehidupan di Hari Raya Aidilfitri Inisiatif bersama Bakul Rahmah yang dijalankan dengan kerjasama Petronas Dagangan Berhad (PDB) serta beberapa agensi berkaitan di stesen minyak Petronas berhampiran Lebuhraya Kulim-Butterworth (BKE), di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, antara faktor yang menjurus ke arah kekurangan bekalan minyak masak paket disebabkan pelaksanaan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) selain isu kredit melibatkan peruncit dan pemborong.

“Bagaimanapun, itu hanya kes terpencil sahaja. Tapi, kalau berlaku juga, boleh adukan dengan segera untuk kita bertindak cepat bagi memulihkan bekalan,” katanya.

Tambah beliau, selain bekalan minyak masak paket, bekalan ayam, telur ayam dan sayur-sayuran juga adalah mencukupi sehingga Aidilfitri nanti berdasarkan fakta-fakta yang dikongsikan bersama khususnya dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ketika ini.

Dalam perkembangan berasingan, Salahuddin berkata, kira-kira 95 peratus atau hampir 34,000 Bakul Rahmah telah diedarkan setakat ini dengan 9,000 daripadanya hasil kerjasama yang dijalin bersama Petronas.

Sehubungan itu, beliau berharap sasaran awal KPDN iaitu pengedaran sebanyak 37,000 Bakul Rahmah berjaya diselesaikan dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya