PETALING JAYA: Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) mengesan sembilan syarikat ahlinya diklon untuk mempromosikan skim yang menyalahi undang-undang.
Sembilan syarikat itu adalah Wealth Vantage Advisory Sdn. Bhd., Genexus Advisory Sdn. Bhd., Excellentte Consultancy Sdn. Bhd., Alpine Advisory Sdn. Bhd., UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd., CC Advisory Sdn. Bhd., Harveston Wealth Management Sdn. Bhd., iFast Capital Sdn. Bhd. dan Kenanga Investors Bhd.
Menurut FPAM, mereka akan menggunakan nama utama syarikat perancangan kewangan dalam syarikat palsu untuk mengelirukan orang ramai, selain membabitkan mereka dalam kumpulan sembang media sosial dengan berpura-pura mewakili syarikat perancangan kewangan yang sah.
“Mereka turut menawarkan skim pelaburan meragukan yang menawarkan pulangan tinggi, berkongsi testimoni pelabur palsu untuk menunjukkan bukti resit pemindahan dan membuat keuntungan untuk meraih keyakinan mangsa berpotensi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan skim pelaburan meragukan yang menggunakan nama syarikat perancangan kewangan yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, FPAM menasihatkan orang ramai membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) senarai individu berlesen dan berdaftar selain membuat semakan dengan syarikat perancangan kewangan berkenaan sebelum membuat sebarang pembayaran atau pelaburan.
“Mangsa penipuan hendaklah segera melaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan turut membuat laporan kepada SC,” katanya. – UTUSAN