76 mat rempit ditahan, 5,009 saman dalam 206 operasi banteras lumba haram - Utusan Malaysia

76 mat rempit ditahan, 5,009 saman dalam 206 operasi banteras lumba haram

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seramai 76 mat rempit berusia 16 hingga 36 tahun ditahan polis manakala 5,009 saman dikeluarkan dalam 206 operasi yang dijalankan bagi membanteras kegiatan lumba haram di seluruh Pulau Pinang sejak September tahun lalu hingga 31 Mac lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, setakat ini terdapat beberapa lokasi panas yang dikesan kerap dijadikan tempat mat rempit berlumba dan polis sentiasa melaksanakan operasi berterusan di kawasan terbabit dalam usaha membanteras kegiatan mat rempit.

”Hasil daripada penguatkuasaan dan pencegahan yang berterusan dijalankan pihak polis bersama agensi penguatkuasaan yang lain sejak Julai tahun lalu, pihak polis mendapati aktiviti samseng jalanan menunjukkan trend penurunan.

”Namun, masih ada individu yang didapati merempit untuk tujuan berseronok dan tindakan telah diambil kepada individu-individu tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Shuhaily mempengerusikan mesyuarat perancangan strategi memerangi lumba haram dan mat rempit peringkat Kontijen Pulau Pinang bersama beberapa jabatan dan agensi di IPD Timur Laut.

Antara agensi yang terlibat dalam mesyuarat itu antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Jabatan Alam Sekitar (JAS); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ; Universiti Sains Malaysia (USM); Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Shuhaily, pihaknya yang bermesyuarat untuk memerangi aktiviti lumba haram hari ini merumuskan peranan jawatankuasa pencegahan dan penguatkuasaan perlu diteruskan serta dipertingkatkan dengan menambah baik beberapa perkara.

Antaranya, kata beliau, menambah baik prosedur dan hukuman dibawah Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya tindakan lebih ketat dikenakan kepada mat rempit dan penggubalan undang-undang khusus ke atas ibu bapa, penjaga (pesalah samseng jalanan) dan penonton.

“Cadangan kami ialah menaikkan kadar hukuman saman ke atas pengubahsuaian motosikal dan menggubal undang-undang supaya tindakan boleh diambil ke atas bengkel pengubahsuaian komponen, struktur dan asas kepada kenderaan,” katanya.

Tambah beliau, semua cadangan dalam mesyuarat itu akan diserahkan kepada pihak pembuat dasar di Putrajaya seterusnya dibawa ke Parlimen untuk dikuatkuasakan supaya tindakan tegas dapat diambil ke atas mat rempit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya