336kg heroin bernilai RM789 juta dari Malaysia dirampas di Australia - Utusan Malaysia

336kg heroin bernilai RM789 juta dari Malaysia dirampas di Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak berkuasa Australia merampas 336 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai A$268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan menjelaskan, Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen, masing-masing seberat 500kg.

Katanya, semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena berkenaan yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

“Pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan positif dadah jenis heroin.

“Penyiasat AFP dan pegawai ABF kemudian menggerudi sehingga bahagian dalam blok konkrit dan berjaya mengeluarkan 960 bungkusan, setiap satu mengandungi kira-kira 350 gram heroin,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa mengeluarkan kesemua bungkusan heroin dari blok konkrit sebelum dihantar ke alamat terletak di Brendale, utara Brisbane pada 28 Mac lalu.

Jelasnya, risikan mendapati barangan itu diambil oleh seorang lelaki tempatan menggunakan trak yang disewa menuju ke Sydney sebelum ia diturunkan di sebuah bangsal industri di Mount Druitt pada 30 Mac.

“Lelaki berusia 55 tahun itu kembali semula ke bangsal itu bersama alat pemotong industri untuk mengeluarkan bungkusan dadah dalam blok konkrit berkenaan sebelum ditangkap.

“Beberapa penggeledahan turut dilakukan di beberapa premis perniagaan dan kediaman di New South Wales dan Queensland selain merampas pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas bernilai A$700,000 (RM2.05 juta),” katanya.

Menurut kenyataan itu, rampasan heroin seberat 336kg heroin itu adalah yang kedua terbesar pernah direkodkan AFP dan ABF dengan rampasan terbesar heroin seberat 450kg direkodkan di Melbourne pada 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN