PETALING JAYA: Penantian 30 rakyat Malaysia untuk meninggalkan Sudan yang dilanda konflik berakhir selepas kesemua mereka dibawa keluar daripada pelabuhan negara tersebut dengan bantuan Arab Saudi, hari ini.
Wisma Putra memaklumkan, kesemua rakyat Malaysia yang mengharungi perjalanan penuh cabaran selama 30 jam dari Khartoum ke pelabuhan negara tersebut dibawa keluar dengan menggunakan kapal tentera laut milik Arab Saudi menuju ke Jeddah.
Katanya, pelayaran tersebut yang merentasi Laut Merah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam sebelum tiba di Arab Saudi.
“Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kami kepada kerajaan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana membuatkan misi evakuasi ini berjaya.
“Atas dasar keprihatinan, Malaysia turut membantu warganegara daripada Kemboja, Palestin, Filipina, Singapura, Sudan, Thailan dan Amerika Syarikat untuk meninggalkan Sudan dengan selamat di bawah pengawasan rapi dan usaha Pasukan Khas Op Sudan Malaysia,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 56 orang termasuk warganegara lain berjaya dibantu oleh pasukan tersebut untuk keluar daripada ibu negara Sudan ke Pelabuhan Sudah, iaitu dengan jarak perjalanan sejauh 1,233 kilometer (KM).
Situasi getir tersebut terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia di Sudan selepas peperangan tercetus di sana akibat daripada krisis yang dihadapi oleh pihak tentera nasional dan Pasukan separa tentera iaitu Rapid Support Forces (RSF).
Kapal perang tersebut dijangka tiba sebelum 2 pagi esok iaitu mengikut waktu Malaysia.
Sementara itu, media Arab Saudi setakat ini melaporkan pihak tentera laut negara itu berjaya membawa keluar seramai 1,687 rakyat daripada 58 negara sejak operasi pertama bermula Sabtu lepas.
Malah, dikatakan terdapat banyak negara Barat turut memohon bantuan daripada Arab Saudi untuk misi evakuasi warga mereka kerana penggunaan pesawat udara amat berisiko. – UTUSAN