3 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan bola sepak - Utusan Malaysia

3 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan bola sepak

TANGKAP layar video pergaduhan di luar Stadium Bandaraya, George Town malam semalam selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC menentang Perak FC yang tular di dalam media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di luar Stadium Bandaraya, di sini malam semalam selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC menentang Perak FC.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua tangkapan berumur antara 20 hingga 23 tahun dan salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

“Hasil semakan polis mendapati kejadian berlaku pada 1 April, pukul 12.30 tengah malam di luar Stadium Bandaraya selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC menentang Perak FC.

”Pergaduhan berpunca daripada provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan lawan, pihak polis berjaya mengawal keadaan serta menahan tiga lelaki tenpatan yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial video pergaduhan sekumpulan penyokong bola sepak membuat rusuhan di luar kawasan stadium dipercayai di kawasan Pulau Pinang.

Menurut Soffian, hasil awal saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan bebas daripada sebarang jenis dadah.

”Kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan polis setelah soal siasat selesai.

“Pihak polis juga sedang giat mengesan individu-individu lain yang terlibat dengan kejadian ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh,” katanya.

Tambah beliau, polis juga menasihati orang ramai tidak menularkan rakaman video kejadian itu untuk mengelakkan sebarang spekulasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.