22,000 pesara kerajaan jadi mangsa penipuan wang pencen

22,000 pesara kerajaan jadi mangsa penipuan wang pencen

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Seramai 22,000 pesara kerajaan direkodkan menjadi mangsa penipuan scammer yang menggunakan wang simpanan persaraan mereka sebagai modus operandi utama.

Bercakap kepada pemberita, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, menerusi rekod jumlah mangsa penipuan, jumlah kerugian terkumpul yang dicatatkan adalah sebanyak RM850 juta.

“Angka tersebut merupakan yang terkini dicatatkan dan ia sangat membimbangkan kerana mangsa telah kehilangan wang simpanan persaraan atas ugutan scammer dan sebagainya.

“Justeru, kita berharap Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) meneruskan program khas supaya dapat memberikan kesedaran kepada golongan pesara untuk memastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan melakukan jenayah scam kewangan.

“Ini boleh berlaku kerana biasanya golongan pesara ini memegang gratuiti dan gantian cuti rehat agak banyak dan kadangkala mudah terpukau dengan janji manis scammer hingga akhirnya menyebabkan diri sendiri kerugian,”katanya.

Ahmad Maslan berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media dan lawatan rasmi ke Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), di ibu negara, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Nik Amlizan Mohamed.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan menasihati golongan pesara yang menerima wang pencen untuk tidak terlalu ‘bermurah hati’ untuk memberikan wang persaraan mereka kepada mana-mana individu yang tidak dipercayai.

“Saya mahu ingatkan agar golongan pesara ini tidak mudah menjadi mangsa penipuan scammer seperti ini.

“Saya juga berharap pihak KWAP akan tingkatkan pelbagai program kesedaran sama ada menerusi laman rasmi KWAP atau di pelbagai platform lain,”katanya.

Sementara itu, KWAP telah melaksanakan pendekatan secara holistik untuk membantu pesara dan bakal pesara dalam persiapan persaraan melalui inisiatif MyPesara.

Menerusi slogan ‘Teman Persaraan Anda’, sebanyak 17 program keterlibatan fizikal MyPesara telah dirancang untuk tahun 2023 khusus buat golongan pesara kerajaan yang kini mencatatkan jumlah 770,000 orang.

KWAP mensasarkan pesara dan bakal pesara, serta penerima pencen terbitan tentang kesedaran persiapan persaraan dan memberi pendedahan lanjut berkaitan perancangan kewangan, penjagaan kesihatan warga emas, gaya hidup sihat dan sebagainya.

Selain itu, KWAP juga mengaktifkan aplikasi MyPesara yang telah dimuat turun lebih daripada 307,000 untuk kemudahan pengguna mengakses perkara berkaitan pencen mereka.

Ia termasuk menawarkan akaun secara peribadi buat para pesara dan ahli keluarga mereka.

Aplikasi in bertujuan untuk member pendekatan holistik tentang persaraan dengan menyediakan platform untuk servis khidmat pelanggan dan pembelajaran mengenai kewangan, kesihatan dan pelan persaraan secara atas talian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN