Zakat fitrah: Kedah paling murah, Terengganu serendah RM8

Zakat fitrah: Kedah paling murah, Terengganu serendah RM8

SETIAP negeri di Malaysia menetapkan kadar zakat fitrah yang berbeza mengikut gred beras.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Buat julung kali dalam sejarah, Kedah muncul sebagai satu-satunya negeri di Malaysia kembali kepada kadar zakat fitrah bawah RM7 seorang bagi Ramadan kali ini.

Berdasarkan semakan perbandingan kesemua negeri di negara ini, nege­ri Jelapang Padi itu menetapkan minimum RM6.50 untuk individu yang memakan beras gred paling murah.

Pengumuman rasmi oleh Lembaga Zakat Ne­geri Kedah pada Isnin lalu setelah mendapat per­ke­nan daripada Sultan Kedah itu ternyata turut meme­ranjatkan banyak pihak sendiri.

Malahan Kedah juga memperkenalkan semula empat kadar yang berbeza; sama seperti pernah dilaksanakan pada 2020 lalu, untuk memberi pilihan kepada umat Islam negeri itu.

Langkah tidak dijangka tersebut juga menawarkan peluang kepada pembayar zakat fitrah di Kedah de­ngan kadar alternatif ma­sing-masing RM7, RM14 dan tertinggi ialah RM21.

Negeri berkenaan tiga tahun lalu pernah mewar­takan empat kadar berlainan bahkan termurah di Malaysia iaitu RM5 selain standard RM7, RM14 dan RM21 sebagai paling mahal.

Kadar zakat fitrah setiap negeri adalah berbeza de­ngan berdasarkan kepada harga beras mengikut gred pada kadar timbangan satu gantang Baghdad atau kira-kira 2.6 kilogram.

Kewajipan tersebut hen­daklah dibayar bermu­la daripada 1 Ramadan sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri pada pagi 1 Syawal kelak menerusi pelbagai cara kaedah pembayaran.

Sementara negeri-ne­geri lain menetapkan kadar serendah RM7 seorang yang merujuk jenis beras paling murah iaitu ‘super special’ tempatan dengan lima dan 10 peratus hancur.

Walau bagaimanapun, hanya Terengganu buat julung kalinya mewartakan kadar terendah yang paling tinggi di Malaysia iaitu RM8 bagi tempoh sepanjang Ramadan pada tahun ini.

Bahkan, negeri itu buat kali pertama juga memperkenalkan dua lagi kadar iaitu RM10 dan RM24, sebagai paling tinggi di Malaysia; berbanding satu kadar pada tahun lalu iaitu RM7.

Secara umum, cuma empat negeri iaitu Pahang, Perlis, Sabah dan Sarawak menetapkan satu kadar sahaja iaitu RM7 tanpa mengambil kira gred beras yang kelaziman dimakan.

Johor pula menjadi negeri tunggal mewartakan dua kadar berbeza dengan RM13 untuk jenis beras mahal, naik RM3 berbanding pada tahun lalu, selain RM7 untuk jenis yang biasa.

Negeri-negeri lain pula kekal tiga kadar berlainan dengan Pulau Pinang mencipta sejarah apabila menetapkan kadar tertinggi RM20 daripada cuma RM16 ditetapkan tahun lalu.

Kelazimannya kadar sederhana ialah merujuk gred beras super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi, beras calrose, beras poney atau jenis yang setaraf.

Kadar mahal pula kebiasaannya merujuk kepada individu Muslim yang sering memakan beras jenis basmathi, beras Jepun, beras merah atau gred setaraf dengan beras tersebut. – UTUSAN

Kadar zakat fitrah 1444 Hijrah/2023 Masihi

Negeri                               Kadar
Johor                                 RM7 / RM13
Kedah                                RM6.50 / RM7 / RM14 / RM21
Kelantan                            RM7 / RM14 / RM21
Melaka                              RM7 / RM14 / RM21
Negeri Sembilan               RM7 / RM10 / RM21
Pahang                              RM7
Perak                                 RM7 / RM14 / RM21
Perlis                                  RM7
Pulau Pinang                     RM7 / RM13 / RM20
Selangor                            RM7 / RM14 / RM21
Terengganu                       RM8 / RM10 / RM24
Sabah                                RM7
Sarawak                            RM7
Wilayah Persekutuan        RM7 / RM14 / RM21

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN