Warga emas putih mata rugi RM73,000 ditipu sindiket macau scam - Utusan Malaysia

Warga emas putih mata rugi RM73,000 ditipu sindiket macau scam

AHMAD MOHSIN MD. RODI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seorang warga emas berputih mata selepas wang simpanannya bernilai RM73,000 lesap ditipu sindiket macau scam dalam kejadian pada Jumaat lepas.

Mangsa berusia 64 tahun itu yang bekerja sebagai seorang petani dikatakan telah menerima panggilan telefon daripada seorang suspek yang mendakwa dirinya sebagai Inspektor Saha dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, menerusi panggilan itu, suspek terlibat mendakwa mangsa berkenaan terbabit dengan kes penggubahan wang haram dan turut mempunyai waran tangkap.

“Mangsa kemudiannya diminta membuat transaksi pemindahan berjumlah RM73,000 ke dalam dua akaun bank bagi tujuan audit untuk menggelakkan akaun bank miliknya dibekukan oleh IPK Pulau Pinang.

“Mangsa berkenaan juga telah bertindak melakukan sebanyak lapan transaksi ke dalam dua akaun bank berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata, selepas membuat transaksi itu, mangsa juga telah memaklumkan perkara berkenaan kepada anaknya yang kemudiannya memaklumkan bahawa panggilan itu merupakan satu penipuan menerusi panggilan telefon.

Beliau berkata, berikutan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pihak berkuasa, institusi kewangan atau syarikat perkhidmatan dengan mendakwa pihak berkenaan terlibat dengan kes jenayah, tunggakan cukai dan pinjaman bank,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Mohsin berkata, polis sedang giat mengesan suspek berkenaan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil selepas ini.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah panik dan percaya sekiranya menerima ancaman panggilan telefon daripada mana-mana sindiket macau scam selepas ini.

“Orang ramai boleh membuat semakan berkaitan jenayah komersil menerusi talian 997, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC),” katanya.-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN