KUALA LUMPUR: Wanita UMNO perlu berani bersuara terutama dalam mengangkat peluang dan penyertaan wanita yang lebih bermakna dalam politik Malaysia.
Calon Ketua Pergerakan itu, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Wanita UMNO perlu mengambil iktibar daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan tidak boleh mensia-siakan peluang untuk menunjukkan suara dan keperluan wanita dalam senarai calon, struktur kepimpinan serta sebagai wakil rakyat.
Beliau malah mempersoalkan sama ada keputusan parti meletakkan hanya 10 peratus daripada 1.3 juta ahli Wanita UMNO sebagai calon pilihan raya mencerminkan potensi sayap itu untuk memimpin.
“Untuk itu, kita mesti lantang dan nampak. Perwakilan yang penting, dan Wanita UMNO tidak boleh memimpin secara senyap dari bayang-bayang.
“Pengundi perlu melihat gelombang ‘tudung merah’ ini dalam komuniti mereka untuk mengetahui bahawa kita berdiri bersama mereka, dan untuk mereka,” katanya seperti dipetik menerusi laporan New Strait Times.
Shahrizat berkata, terdapat keperluan untuk parti itu memperbaharui pendekatannya dan berhubung dengan rakyat untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka dan kekal relevan.
Justeru, katanya, Wanita UMNO mesti berada dalam kedudukan untuk membina kekuatannya.
“Kita tahu jentera parti kita mengagumkan. Dalam suasana politik ini, kita tidak mampu untuk berehat.
“Visi saya untuk Wanita adalah untuk mendapatkan semula suaranya, relevannya, dan kekuatannya dalam negara,” katanya.
Pada masa sama, Shahrizat bertekad untuk menamatkan amalan meletakkan calon Wanita di ‘kerusi hitam’.
“Jika Wanita UMNO amanahkan saya sebagai ketua mereka, saya akan komited untuk mengangkat wanita bersama saya semasa saya pergi.
“Kita mesti memberi peluang kepada wanita untuk mengamalkan kepimpinan, supaya kita tidak perlu lagi mendengar kata-kata lama bahawa wanita tidak berpengalaman,” katanya. – UTUSAN










