VSS Utusan: Lantik peguam atau tidak, RM58.46 juta dibayar serentak - Utusan Malaysia

VSS Utusan: Lantik peguam atau tidak, RM58.46 juta dibayar serentak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Baki penyelesaian berjumlah RM58.46 juta akan dijelaskan serentak kepada kesemua 639 bekas kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) yang terlibat dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS) tanpa mengambil kira sama ada mereka diwakili peguam atau sebaliknya.

Datuk Tee Guan Pian daripada UHY Advisory (KL) Sdn. Bhd. selaku pelikuidasi bagi pihak UMMB berpendirian, perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 25 Oktober 2022 tidak memberi keutamaan bahawa baki bayaran dijelaskan kepada 160 penerima VSS yang diwakili oleh Tetuan Azmi & Associates.

Guan Pian dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, pelikuidasi sedang dalam proses memuktamadkan transaksi untuk melupuskan harta-harta amanah bagi membolehkan baki pembayaran berjumlah RM58.46 juta diberikan kepada kesemua penerima VSS.

“Berdasarkan perintah mahkamah bertarikh 25 Oktober 2022, pendirian kami bahawa baki bayaran dijelaskan serentak kepada 639 penerima VSS di bawah Kumpulan Utusan tidak kira mereka diwakili peguam atau sebaliknya,” jelas beliau.

UHY Advisory mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas kepada laporan media semalam bahawa seramai 160 bekas kakitangan UMMB yang terlibat dalam VSS sudah menyerahkan notis tuntutan kepada UHY Advisory agar menyelesaikan baki pembayaran mencecah RM18.9 juta.

Laporan itu menyatakan, notis tuntutan (Letter of Demand) bertarikh 3 Mac lalu dihantar secara serahan tangan dan emel melalui firma guaman yang mewakili mereka, Tetuan Azmi & Associates kepada Tetuan Dennis Nik & Wong yang mewakili syarikat pelikuidasi tersebut.

Sehubungan itu, UHY Advisory diberi tempoh selama 14 hari bermula dari tarikh notis diserahkan untuk memberi maklum balas terhadap tuntutan 160 penerima VSS bagi mengelakkan tindakan undang-undang selanjutnya diambil.

Notis itu antaranya merujuk kepada surat-surat yang telah dihantar kepada firma guaman tersebut dalam tempoh tiga bulan di antara Disember 2022 dan 10 Februari lalu serta klarifikasi selain perbualan telefon pada 20 Januari lalu.

Notis berkenaan menuntut agar bayaran penyelesaian berjumlah RM18,880,296.11 dimasukkan ke dalam akaun anak guam Azmi & Associates.

Notis tuntutan itu dihantar berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Oktober 2022 bahawa bekas kakitangan UMMB yang terlibat dalam VSS, berhak mendapat baki bayaran penyelesaian hasil penjualan 29 hartanah milik syarikat tersebut.

Ketetapan itu dicapai susulan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan 29 harta milik UMMB termasuk empat harta tambahan iaitu bangunan-bangunan di Jalan Chan Sow Lin dan kilang percetakan di Bangi dekat sini, dikategorikan sebagai harta-harta amanah.

Keempat-empat harta itu terletak di Lot 187 dan 268, 46M, Sec 92, Jalan 5 Off Jalan Chan Sow Lin, No. 44, Jalan Utusan Off Jalan Chan Sow Lin, Lot 285, Jalan 5, Seksyen 92 Jalan Chan Sow Lin dan Lot 6, 3 Jalan P/10 Kawasan Perusahaan S/S10, Bangi.

Hakim Nadzarin Wok Nordin ketika memberi keputusan turut berpuas hati bahawa penerima VSS dikategorikan sebagai penerima manfaat (beneficiaries), bukan pemiutang.

“Oleh kerana mahkamah berpendapat penerima VSS adalah penerima manfaat harta-harta amanah, mereka tidak terlibat dalam proses likuidasi, jadi mereka berhak mendapat manfaat daripada harta-harta tersebut,” kata Hakim Nadzarin.

Keputusan itu dicapai dalam saman pemula difailkan oleh UHY Advisory iaitu pelikuidasi bagi pihak UMMB (dalam penggulungan sukarela pemiutang) bagi mendapat arahan mahkamah sama ada hartanah milik syarikat itu terhadap penyelesaian untuk membayar wang penyelesaian VSS, diiktiraf sebagai harta-harta amanah.

Dalam saman pemula tersebut, Rosmanizam Abdullah dan 159 pemegang VSS dinamakan sebagai defendan-defendan.

Dalam keputusannya, Hakim Nadzarin turut berpendapat, UMMB dan anak-anak syarikatnya boleh diklasifikasikan sebagai entiti ekonomi perseorangan.

Beliau berpuas hati, surat bertarikh 8 Oktober 2019 daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan (ketika itu), Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang menyatakan, persetujuan kedua pihak dicapai bahawa pembayaran VSS akan dibuat menggunakan dana hasil penjualan hartanah milik Kumpulan Utusan.

“Latar belakang ini menunjukkan bukti komitmen plaintif untuk menyelesaikan bayaran VSS.

“Bukti di hadapan mahkamah apabila dibaca bersama menunjukkan hartanah lain milik plaintif dan/atau Kumpulan Utusan termasuk dalam definisi atau senarai harta amanah,” jelas hakim berkenaan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, sebarang hartanah yang dicagarkan kepada bank atau institusi kewangan tertakluk kepada kedua-dua pihak tersebut.

Hakim Nadzarin berkata, penerima VSS selaku penerima faedah harta amanah (selepas ditolak perkara-perkara seperti cukai keuntungan harta tanah, penilaian, yuran pelikuidasi, yuran guaman dan pelbagai bayaran) akan menerima bayaran penyelesaian yang akan dimasukkan ke dalam akaun firma guaman yang dilantik sebagai pemegang amanah VSS.

Penghakiman itu menyatakan, seramai 708 kakitangan UMMB ditawarkan dan menerima VSS manakala Jawatankuasa Pemegang Amanah ditubuhkan pada 24 Disember 2018 bagi memastikan hasil jualan harta dimasukkan ke dalam akaun sebuah syarikat guaman selaku pemegang amanah.

Menurut penghakiman tersebut, sebanyak lapan kali pembayaran dibuat oleh UMMB kepada bekas kakitangan manakala masih terdapat baki tunggakan sebanyak RM59,403,367.97 perlu dijelaskan kepada semua penerima VSS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN