Usul kosongkan kerusi; Meskipun sudah bersama PH, ADUN BN pilih berkecuali - Utusan Malaysia

Usul kosongkan kerusi; Meskipun sudah bersama PH, ADUN BN pilih berkecuali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor menarik perhatian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini apabila memilih berkecuali dalam usul pengosongan kerusi melibatkan empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kini membentuk kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, Muhammad Yussof yang merupakan ADUN Sungai Dua mengakui beliau tersepit antara untuk menyokong dan menolak usul itu, namun menegaskan pendiriannya adalah jelas iaitu tidak pernah bersetuju dengan tindakan mana-mana ADUN yang memilih untuk melompat parti.

Meskipun begitu, jelasnya yang masih lagi Ketua Pembangkang, beliau melihat Kerajaan Negeri Pulau Pinang terburu-buru dalam membawa usul tersebut untuk diluluskan memandangkan masih terdapat beberapa perkara melibatkan usul berkenaan yang boleh dipersoalkan.

Antaranya, jelas beliau, berhubung ketidakseragaman akta lompat parti di peringkat kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat selain hakikat kerajaan negeri tidak mengambil keputusan sama dalam kes melibatkan ADUN Pas, Datuk Mohd. Salleh Man sewaktu Pas keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) pada 2018.

“Selain itu, kes saman melibatkan empat ADUN ini juga akan dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan dan bagaimana sekiranya mereka menang kelak?

“Ini boleh memberi kesan lain kepada kerajaan negeri dan jika ia berlaku, di mana imej dan kedudukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaku pembuat keputusan?

“Sebab itu bagi saya, Kerajaan Negeri jika boleh, menangguhkan dulu dan tidak perlu melaksanakan usul pengosongan kerusi melibatkan empat ADUN ini,” katanya dalam sidang DUN, di sini hari ini.

Muhammad Yussof berkata demikian ketika turut mengambil bahagian dalam perbahasan usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Usul itu yang diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti ADUN menyaksikan empat kerusi yang disandang ADUN Bersatu iaitu Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang) dikosongkan dengan keempat-empat mereka meninggalkan bangunan DUN kira-kira pukul 1 tengah hari.

Dengan keputusan itu juga, DUN Pulau Pinang ketika ini hanya memiliki seorang ADUN pembangkang iaitu ADUN Pas, Mohd. Yusni Mat Piah. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.