UMNO guna pendekatan sukarelawan dekati rakyat - Azeez Rahim

UMNO guna pendekatan sukarelawan dekati rakyat – Azeez Rahim

ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO akan menggunakan kerja-kerja sukarelawan sebagai pendekatan baharu parti itu dengan mengajak orang ramai khususnya anak muda untuk turun padang melakukan kerja sosial dan kebajikan kepada rakyat memerlukan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menjelaskan, langkah itu secara tidak langsung dapat mengetengahkan nilai-nilai murni UMNO yang selama ini membantu rakyat pada setiap masa tanpa mengira warna kulit.

Katanya, malah pendekatan itu sekali gus dapat mendekati anak-anak muda untuk kembali menyokong UMNO di samping melihat peranan parti yang selama ini dalam membantu rakyat.

“Ini pendekatan baharu yang cuba UMNO lakukan untuk menarik rakyat kembali bersama kita. Selama ini, mereka mendapat gambaran tidak baik dan menerusi demikian cara ini dapat menjelaskan kepada mereka bahawa gambaran itu adalah tidak sama seperti dilemparkan sesetengah pihak.

“Ini sejajar harapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang meminta semua pemimpin UMNO untuk memberi keyakinan semula kepada rakyat, salah satunya menerusi kerja-kerja sukarelawan bersama anak-anak muda. Bagi mencapai usaha ini, semua sayap pergerakan parti perlulah bersama menyokong usaha ini,” katanya ketika dihubungi.

Pada Pemilihan UMNO baru-baru ini, Abdul Azeez berjaya menempatkan diri dalam senarai 25 Ahli MT yang dipilih oleh lebih 160,000 perwakilan dengan berada pada kedudukan ketujuh.

Dalam pada itu, Abdul Azeez merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua perwakilan yang memberi mandat kepada dirinya untuk terpilih sebagai Ahli MT terutamanya 151 bahagian yang memberi undi agar terpilih menduduki jawatan tersebut.

Beliau juga menghargai sokongan perwakilan UMNO Bahagian Baling kerana memilihnya sekali lagi sebagai Ketua UMNO Bahagian untuk pemilihan parti kali ini.

“Di saat kekalahan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, saya tidak sangka dengan kemenangan ini dan sekali gus memperlihatkan ahli-ahli UMNO mahu saya terus berbakti demi masa depan parti dan mengembalikan semula keyakinan rakyat.

“Selain memperkukuhkan saf kepimpinan, ujian besar UMNO selepas ini adalah enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU16 untuk menyakinkan kepada rakyat agar memilih kita dalam pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya