Tun M dakwa Perdana Menteri punca pembatalan program

Tun M dakwa Perdana Menteri punca pembatalan program Proklamasi Melayu

TUN Dr. Mahathir bercakap dalam sidang akhbar di ibu pejabat Parti Putra hari ini. Foto: UTUSAN/SYAKIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan dalang di sebalik pembatalan tempahan dewan kali ketiga bagi penganjuran program dinamakan Proklamasi Melayu yang sepatutnya berlangsung petang tadi.

Beliau yang juga Penasihat Sekretariat Proklamasi Orang Melayu berkata, tiada apa yang boleh dilakukan seperti pembatalan itu melainkan ia telah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri sehingga menyebabkan pihak pengurusan dewan terpaksa membatalkan tempahan yang sudah dibuat.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu percaya bahawa pembatalan program berkenaan kerana merujuk kepada ucapan Anwar sebelum ini yang ditujukan terhadap Tun Mahathir dan ahli keluarganya.

“Mungkin kami tidak boleh buktikan, tetapi negara ini adalah tanggungjawab Perdana Menteri. Tiada apa yang boleh dilakukan melainkan ini mendapat persetujuan Perdana Menteri walaupun ia (pembatalan) satu arahan.

“Saya tidak pernah cakap apa-apa terhadap beliau, tetapi, beliaulah yang bercakap. Jadi, saya pasti beliau adalah orang bertanggungjawab di sebalik dalam usaha menutup mulut orang yang mahu bercakap benar,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di ibu pejabat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak melihat bahawa penganjuran program itu berniat mencetus isu perkauman sebaliknya, hanya mahu mengumpul orang-orang Melayu untuk menegur kerajaan atas dasar kebebasan bersuara.

Beliau turut mempersoal mengapa kerajaan ‘takut’ dengan penganjuran program berkenaan sedangkan ketika bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan parti itu tewas teruk di kesemua 125 kerusi Parlimen.

“Saya tidak faham mengapa kerajaan begitu takut dengan orang Melayu ini sampai tidak beri kita jumpa (berkumpul) pun. Tempat-tempat yang kita pilih semua tidak boleh, semua ini rasis.

“Seolah-olah negara kita ini bukan negara Melayu sampai tidak benarkan kita berjumpa. Kita perlu jumpa untuk tegur kerajaan,” katanya.

Katanya, rakyat berhak menegur kerajaan dan menyatakan rasa tidak puas hati, namun ruang itu tidak diperoleh di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada.

“Kita marah bukan sahaja kerana kita orang Melayu, tetapi kita adalah rakyat Malaysia. Kerajaan ini adalah diktator, yang tidak memberi ramai menegur, walhal, semasa bukan kerajaan dahulu, buat demontrasi setiap minggu.

“Setiap hari Sabtu sahaja ada demonstrasi kasar, angkat kereta buang dalam longkang pun dibuat, kita ini bukannya mahu angkat kereta ke mana-mana, kita sangat mengikuti peraturan tetapi masih juga tidak dibenar berjumpa sesama kita.

“Saya dahulu dituduh sebagai diktator, mana ada diktator yang letak jawatan (Perdana Menteri), tiada siapa suruh saya buat,” katanya.

Pagi tadi, Utusan Malaysia melaporkan, program Proklamasi Melayu di lokasi ketiga yang sepatutnya berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Selayang (IDCC) pukul 3 petang tadi dibatal pada saat akhir, selepas berlaku pertukaran di dua lokasi terawal di sebuah hotel di ibu negara dan Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.

Difahamkan, pihak IDCC terpaksa membatalkan tempahan program berkenaan yang menuntut Tun Mahathir membuat sidang media khas di ibu pejabat Putra petang ini.

Semalam, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam kenyataan berkata, lokasi kedua bagi penganjuran program Proklamasi Melayu dihadiri Tun Mahathir di Pusat Konvensyen Sime Darby, terpaksa dibatal.

Pihak pengurusan dewan telah memaklumkan pembatalan tempahan, namun tidak menyatakan sebarang sebab atas pembatalan tempahan program berkenaan.

Lewat malam semalam, Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkongsi lokasi ketiga baharu bagi program tersebut di Selayang, namun akhirnya dibatal pagi tadi.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir dijangka menjadi tetamu kehormat pada pelancaran program berkenaan di sebuah hotel di ibu negara. Bagaimanapun, program itu kemudian dipindah ke lokasi lain semalam atas masalah tertentu.

Himpunan itu difahamkan dianjur oleh Sekretariat Tanah Air, dan terdapat sumber mengesahkan ia tiada kaitan dengan pejabat Tun Mahathir.

Beliau dilaporkan akan hadir ke program itu atas kapasiti peribadi dan bukan sebagai wakil parti yang baharu disertainya iaitu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Difahamkan, ia bukan acara politik sebaliknya membincangkan isu-isu berkaitan komuniti Melayu, manakala Dr. Mahathir dijadual memberi ucapan serta menandatangani proklamasi dalam program berkenaan.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa kerajaan tidak sekali-kali mengizinkan sebarang usaha oleh pihak tertentu untuk cuba mengadu domba dan menghangat suhu kaum dan agama di negara ini.

Katanya, ada pihak dalam kalangan orang yang kehilangan kuasa cuba meniup api perkauman dan agama.

Bagaimanapun, beliau menyebut secara khusus nama pemimpin atau sesuatu pihak selain tidak merujuk kepada perhimpunan berkenaan. -utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.