PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah sah menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bakal mengambil alih kepemimpinan parti dan dilantik sebagai Presiden menerusi rombakan yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali akan menyerahkan jawatannya dan kini sedang menyusun atur untuk memastikan peralihan jawatan kepemimpinan yang baharu dapat direalisasi.
Ini juga sekali gus menjawab persoalan mengapa Dr. Mahathir baru-baru ini diangkat sebagai ‘ahli nombor satu’ Putra yang sebelum ini dipegang oleh Ibrahim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan yang kini ahli Putra, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, beliau diberitahu yang Ibrahim kelmarin telah memaklumkannya supaya mencari tarikh dan masa sesuai untuk mengadakan mesyuarat Dewan Tertinggi parti untuk berbincang mengenai peralihan jawatan serta membentuk barisan kepemimpinan baharu.
“Segala-galanya nanti akan dibincang dalam Dewan Tertinggi parti, dan saya rasa kaedah atau tindakan selanjutnya bergantung kepada mesyuarat tersebut kerana kami perlu meminta pandangan semua pihak.
“Bercakap tentang Ibrahim, beliau adalah tokoh pemimpin dan penyokong tegar Dr. Mahathir. Beliau sendiri beritahu saya mahu membuat pengorbanan dengan memberi nombor keahlian pada Dr. Mahathir.
“Ini kerana, Ibrahim yakin dengan mutu kepemimpinan Dr. Mahathir dan mampu meluaskan lagi pengaruh parti, sebab itu beliau mahu serah jawatan. Jadi, apabila Dr. Mahathir merombak semula parti, Ibrahim cakap akan terima apa sahaja jawatan, asalkan dapat beri sumbangan dan berjuang bersama,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semasa sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kad Keahlian dan Watikah Penasihat Putra di Putrajaya, Rabu lalu, Putra mengangkat Dr. Mahathir sebagai ahli nombor satu. Pada masa sama,
Timbalan Presiden Putra, Mohd. Khalid Yunus turut memberitahu bahawa Ibrahim sendiri sedia menyerahkan jawatan itu.
Pimpinan parti dijadual mengadakan mesyuarat agung bahagian 7 Mac ini diikuti persidangan perwakilan peringkat pusat pada 7 Mei dan pemilihan barisan kepemimpinan pula dicadang pada 8 April ini.
Seramai 12 bekas pemimpin dan ahli Pejuang termasuk Dr. Mahathir dan Khairuddin diterima sebagai ahli Putra. Mereka yang lain antaranya Datuk Marzuki Yahya, Mohd Jafrie Hussain dan Abu Bakar Yahya.
Dalam pada itu, kata Khairuddin, beliau akan tetap memainkan peranannya sebagai ahli biasa sekiranya tidak dilantik ke dalam jawatan utama parti.
“Jawatan tidak penting bagi saya kerana yang penting ialah keikhlasan berjuang bersama dan terus menyumbang sedaya yang mampu untuk perjuangkan masa depan orang Melayu,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairuddin menepis dakwaan bahawa Dr. Mahathir yang bertukar parti beberapa kali sehingga menyebabkan orang Melayu berpecah-belah.
“Ini hanya persepsi, dangkal dan tidak berasas. Kalau tengok wadah perjuangan Tun Mahathir, matlamat akhir beliau hanya menyatu padukan semula orang Melayu,” katanya. – UTUSAN










