Tujuh NGO lapor polis filem ‘Mentega Terbang’ - Utusan Malaysia

Tujuh NGO lapor polis filem ‘Mentega Terbang’

Polis Mentega
SEBAHAGIAN wakil daripada tujuh NGO membuat laporan polis terhadap filem Mentega Terbang di IPD Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tujuh organisasi bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis terhadap penerbitan filem kontroversi ‘Mentega Terbang’ kerana didakwa mengangungi adegan yang mengganggu akidah umat Islam di negara ini.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd. Zai Mustafa berkata, laporan polis tersebut turut dibuat untuk menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar dan Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil supaya mengambil tindakan tegas terhadap penerbitnya.

“Saya sempat menonton beberapa babak dalam filem ini dan ada satu babak seorang ayah beragama Islam tidak kisah seorang anaknya memakan babi.

“Kami melihat babak ini tidak sepatutnya dibuat kerana ia memberikan mesej salah, seolah-olah Muslim di negara ini tidak sensitif terhadap akidah mereka,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, filem arahan Khairil Anwar terbitan syarikat Meng Kheng Entertainment yang ditayangkan pada 19 Januari menerusi aplikasi penstriman dalam talian menimbulkan pelbagai reaksi termasuk kecaman netizen terhadapnya.

Sementara itu, Setiausaha Sekretariat NGO Selangor, Mohd. Yusof Abdullah memberitahu, langkah seterusnya akan diambil sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan sepatutnya kepada penerbit filem tersebut.

“Perlu ada tindakan segera daripada kerajaan kerana filem ini menimbulkan kemarahaan umat Islam di negara ini. Dengan laporan kepada pihak berkuasa ini, kami harap tidak ada lagi mana-mana penerbit yang berani membuat filem yang boleh menimbulkan kekeliruan mengenai Islam kepada masyarakat,” tegasnya.

Utusan Malaysia pada Rabu lalu melaporkan Mohd. Naim meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengemukakan ulasan terperinci mengenai filem tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya tindakan undang-undang boleh dikenakan.

Malah, beliau turut meminta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memanggil pihak yang terbabit dalam isu penerbitan filem bagi mendapatkan penjelasan daripada mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya