Tragedi Tanduo: Penduduk kampung masih terkesan

Tragedi Tanduo: Penduduk kampung masih terkesan

ANGGOTA tentera meronda kawasan Kampung Tanduo ketika pencerobohan tentera Sultan Sulu di Lahad Datu pada 2013.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Biarpun 10 tahun telah berlalu, tragedi pencerobohan Tanduo, Lahad Datu, Sabah akan sentiasa dikenang sebagai sejarah hitam buat negara.

Tanggal 1 Mac 2013 menyaksikan pertempuran antara pasukan keselamatan dengan kumpulan pengganas Sulu bermula di Kampung Tanduo, Lahad Datu hingga mengakibatkan dua anggota Komando 69 dan 12 pengganas maut.

Keesokan harinya, pada 2 Mac 2013, enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibunuh secara kejam dalam kejadian serangan hendap pengganas di Kampung Simunul, Semporna.

Kumpulan pengganas yang menggelarkan diri sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara itu telah dihantar oleh Jamalul Kiram III, yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Angkatan tentera waris Sultan Sulu itu menceroboh masuk ke Kampung Tanduo pada Februari 2013 dengan alasan ingin menuntut Sabah yang dianggap sebagai sebahagian daripada wilayah Kesultanan Sulu.

Rundingan antara pasukan keselamatan dan kumpulan pengganas pada bulan Februari tidak berhasil hingga membawa kepada pertempuran yang berlaku pada 1 hingga 5 Mac 2013.

Tragedi pencerobohan yang membawa kepada pengisytiharan Op Daulat itu menyaksikan lapan anggota keselamatan negara terkorban dan 65 pengganas ditembak mati dengan lebih 100 orang pengganas ditangkap.
Pada 26 Julai 2016, sembilan ahli kumpulan pengganas dihukum penjara seumur hidup manakala, lapan orang termasuk tiga rakyat tempatan dijatuhi hukuman penjara antara 10 tahun hingga 15 tahun.

Kini, selepas 10 tahun tragedi hitam itu berlaku, keluarga wira-wira negara yang terkorban masih terasa kehilangan seorang suami dan juga ayah.

Penduduk kampung pula kehilangan rumah akibat dibom dan terkena tembakan semasa pertempuran berlaku.

Pada masa ini, penduduk kampung mula menjalani kehidupan harian seperti biasa tanpa sedikit pun rasa terancam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Tanjung Labian dikenali sebagai Imam Sidek berkata, mereka kini merasa lebih selamat de­ngan penempatan kem tentera di Kampung Tanduo, yang terletak kira-kira lima kilometer dari Tanjung Labian.

Kini, selepas 10 tahun berlalu, masih ada penduduk yang tidak mampu membina rumah yang baik.

“Sebahagian penduduk Tanjung Labian yang mempunyai kebun di Tanduo juga tidak dapat mengusahakan kebun ma­sing-masing kerana tertakluk kepada kebenaran pasukan ke­selamatan. Ini antara keka­ngan yang kami hadapi.

“Ada kalanya dibenarkan ma­suk tapi, kadang-kala tidak dibenarkan jadi, ia mendatangkan kesukaran kepada penduduk untuk mengutip hasil sawit. Kalau ada penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada hasil sawit memang akan terputus sumber pendapatan,” katanya.-  utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN