PETALING JAYA: Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain yang bersara esok dipercayai dilanjutkan kontrak selama dua tahun.
Menurut sumber, upacara paluan berundur bagi persaraan Razarudin yang pada mulanya dijadualkan esok dibatalkan.
“Tan Sri (Razarudin) dilanjutkan kontrak selama dua tahun.
“Kemungkinan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan umumkan selewat-lewatnya esok berkaitan penyambungan kontrak beliau,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan lanjutan kontrak Razarudin bagi membolehkan beliau menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Ketua Polis Negara apabila kontraknya tamat Oktober ini.
Tambah sumber, mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) juga akan diadakan bagi membincangkan pengganti Pengarah Pengurusan, Datuk Seri Zaini Jass yang bersara 9 Mac lalu selain pegawai yang akan menggantikan Datuk Seri Abd. Jalil sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang akan bersara pada 16 April ini.
Pada 3 Mac lalu, Acryl Sani dilaporkan berkata, SPP akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi menentukan calon-calon berpotensi menggantikan Razarudin yang bersara wajib pada 14 Mac ini.
Beliau dilaporkan berkata, terdapat beberapa calon layak diberi pertimbangan bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.
“Justeru apapun pemilihan dan penentuan akan dilakukan melalui mesyuarat SPP yang akan diadakan tidak berapa lama lagi, kita tunggu apakah yang akan diumumkan SPP yang akan bermesyuarat nanti,” katanya. – UTUSAN










