Tidak wajar jadikan masjid pencetus jurang, sengketa - Sultan Selangor - Utusan Malaysia

Tidak wajar jadikan masjid pencetus jurang, sengketa – Sultan Selangor

Masjid
SULTAN Sharafuddin Idris Shah bertitah pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid Negeri Selangor dekat Balai Rung Seri, Istana Alam Shah di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Masjid tidak wajar dijadikan medan yang boleh mencetuskan jurang berikutan perbezaan pandangan serta dendam politik dan akhirnya menyebabkan persengketaan berpanjangan sesama umat Islam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, masjid perlu dijadikan asas dan medium utama masyarakat Islam untuk bersepakat tanpa mengira perbezaan pangkat, kedudukan, pandangan dan fahaman politik masing-masing.

Justeru, baginda menegaskan supaya orang politik dilarang daripada menjadikan masjid sebagai pentas ceramah politik dan hanya membenarkan individu yang mempunyai tauliah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memberi ceramah dan tazkirah.

“Masjid hendaklah menjadi tempat yang bebas dari sebarang elemen politik kepartian. Kuliah-kuliah agama yang dijalankan di masjid-masjid tidak sepatutnya dijadikan sebagai platform untuk menghina, mengumpat, memfitnah dan mencaci mana-mana pihak.

“Jika perkara ini berlaku ia akan menyebabkan persengketaan berpanjangan dan akan merosakkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam,” titah baginda dalam Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid Negeri Selangor 2023-2025 di Istana Alam Shah, hari ini.

Sultan Sharafuddin menambah, kawalan pemberian tauliah itu juga turut melibatkan kebenaran kepada penceramah luar negara yang hanya dibenar diadakan dekat Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Masjid Diraja Sultan Sulaiman dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah.

Terdahulu, pembatalan kuliah daripada penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang sepatutnya berlangsung di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada Ahad lalu  membangkitkan pelbagai reaksi selepas figura itu didakwa tidak mempunyai tauliah mengajar agama Islam di Selangor.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan masjid atau surau tidak boleh menjemput individu yang tidak memiliki tauliah mengajar di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pindaan 2016.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menyarankan nazir memperuntukkan sebahagian kewangan masjid untuk menyediakan kelengkapan teknologi maklumat untuk merekod dan memantau semua aktiviti ceramah.

“Ia turut memberi manfaat kepada pihak masjid dan ahli kariah kerana setiap perjalanan ceramah boleh dibuat secara langsung atau atas talian yang boleh dikongsi oleh mereka yang tidak hadir dan lebih penting mudah untuk dipantau serta dirujuk semula apabila diperlukan,” ujarnya.

Sultan Selangor dalam istiadat tersebut, menyampaikan watikah kepada 878 daripada 1,256 penerima yang terdiri daripada 386 nazir dan 870 imam bagi 435 masjid-masjid pengurusan dan daerah termasuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya