Thai Hot Guy dibatalkan - Utusan Malaysia

Thai Hot Guy dibatalkan

Polis belum membuka kertas siasatan berhubung cubaan menganjurkan Thai Hot Guy.

PETALING JAYA: Program hiburan Thai Hot Guy yang dijadualkan berlangsung di sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 30 Mac ini dibatalkan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, keputusan itu dicapai dalam pertemuan antara penganjur dan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Katanya, pihaknya telah menerima sebanyak 60 laporan polis diterima bagi membantah penganjuran program berkenaan.

“Pihak polis peka mengenai penganjuran program-program yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Pihak penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program berkenaan dan tiada sebarang aktiviti yang tular sebelum ini akan diadakan.

“Pihak polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang sehingga menggugat ketenteraman awam.

Acara hiburan berkenaan bakal menampilkan persembahan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian wanita dikenali sebagai Thai Hot Guy sebagai tarikan utamanya.

Namun, pemilik kelab malam, Privacy Club yang menganjurkan acara hiburan tersebut didapati tidak mempunyai lesen hiburan mahupun kebenaran untuk mengadakan sebarang aktiviti.

Hasil siasatan awal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), premis tersebut adalah dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn. Bhd.

Walau bagaimanapun lesen restoran syarikat terbabit telah tamat pada 4 Februari 2021 lalu dan premis itu juga tidak mempunyai lesen hiburan dan juga tiada sebarang permohonan lesen hiburan atau permohonan untuk menjalankan aktiviti hiburan. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN