Tanggungjawab lebih besar bina semula UMNO - Wan Rosdy

Tanggungjawab lebih besar bina semula UMNO – Wan Rosdy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Naib Presiden UMNO baharu, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menganggap kemenangan dicapai dalam menyandang jawatan terbabit sebagai satu tanggungjawab besar bagi membantu UMNO yang kini berada dalam keadaan getir.

Kata Menteri Besar Pahang itu, beliau akan menggunakan segala pengalaman dalam mentadbir kerajaan dan parti bagi membina semula kekuatan UMNO.

“Kejayaan ini merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar untuk saya membantu presiden, timbalan presiden serta seluruh kepimpinan UMNO.

“Kekalahan UMNO pada PRU15 yang lalu menuntut seluruh ahli untuk rapatkan semula saf perjuangan, perkukuhkan kembali persaudaraan serta berikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti agar UMNO mampu bangkit menjadi sebuah parti yang kuat.

“Berbekalkan pengalaman saya dalam mentadbir kerajaan dan juga parti, InsyaAllah, saya akan gunakannya untuk membantu bagi membina semula kekuatan UMNO agar parti keramat ini kembali bangkit dan kekal relevan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Menurutnya lagi, beliau turut akan membantu untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU 16) nanti.

“Oleh itu, saya berharap agar seluruh ahli UMNO terus istiqamah, menggembleng tenaga dan bekerjasama bagi memastikan perjuangan parti dapat diteruskan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Beliau dalam pada itu merakamkan rasa syukur kerana dipilih sebagai Naib Presiden UMNO Sesi 2023 hingga 2026 pasa Persidangan UMNO Bahagian-Bahagian yang berlangsung serentak seluruh negara, semalam.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua perwakilan yang telah memberi sokongan, kepercayaan serta memberi saya satu daripada tiga kerusi jawatan ini.

“Sudah pastinya kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa bantuan semua pihak terutamanya jentera kempen saya yang berhempas pulas sepanjang tempoh dua minggu ini.

“Tanpa bantuan ini tidak mungkin saya berupaya untuk mencapai kemenangan yang penuh bermakna ini,” ujarnya.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya