Tambahan 6,000 veteran ATM terima BSH

Tambahan 6,000 veteran ATM terima BSH

KEMENTERIAN Pertahanan meluluskan peningkatan jumlah penerima bertujuan untuk menjaga kebajikan golongan veteran ATM B40, khusus bagi meringankan beban hidup mereka. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Nasib veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tergolong dalam kelompok B40 akan lebih terbela, selepas Kementerian Pertahanan meningkatkan jumlah penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada hanya 9,000 orang sebelum ini kepada 15,000 orang, bermula tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pertambahan sebanyak 6,000 penerima itu melibatkan peruntukan bernilai RM54 juta dengan setiap seorang menerima RM300 setiap bulan.

Menurutnya, kementerian meluluskan peningkatan jumlah penerima bertujuan untuk menjaga kebajikan golongan veteran ATM B40, khusus bagi meringankan beban hidup mereka.

“Setakat ini kita banyak menumpukan kepada BSH, kalau ada anggota yang berpencen dan pencen mereka rendah, kita akan tambah RM300.

“Bagi yang tidak ada pencen langsung, paling tidak bantuan RM300 dapat juga mereka terima untuk meringankan beban hidup.

“Bukan itu sahaja, malah soal pendidikan anak-anak veteran ATM tidak kita ketepikan. Kalau ada anak masuk universiti untuk diploma kita bagi RM1,000 dan ijazah pula sebanyak RM1,500,” katanya kepada pemberita selepas Jelajah Program Peduli Veteran (PPV) di sini, hari ini.

ADLY Zahari berbual dengan seorang veteran ATM, Zamri Kasmin yang mengalami masalah penglihatan di Kampung Sungai Petai, Alor Gajah, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah mengunjungi enam buah rumah veteran ATM golongan B40 untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang sagu hati.

Tambah Adly, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) turut memberi perhatian kepada aspek perumahan golongan berkenaan.

Menurutnya, satu peruntukan khas disediakan untuk membaiki 40 buah rumah veteran yang daif di seluruh negara.

“Kementerian turut memberi perhatian bukan sahaja dalam soal kebajikan semata-mata tetapi juga soal kesihatan untuk mereka mendapat rawatan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN