KUALA LUMPUR: Bekas pegawai bank di Singapura memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, adalah mustahil bagi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk mengendalikan dana fidusiari syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat berkaitan dengannya tanpa persetujuan pihak atasan.
Bagaimanapun ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi pendakwaan ke-44, Kevin Michael Swampillai berkata pihak atasan tersebut tidak semestinya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Apabila saya membuat andaian tersebut, apa yang saya maksudkan ialah saya tidak fikir orang macam Jho Low mampu mengarahkan (transaksi) bernilai jutaan dolar secara sesuka hati tanpa dikawal selia oleh seseorang.
“Sebab itu saya membuat inferens bahawa pembuat keputusan utama boleh jadi Perdana Menteri Malaysia (ketika itu),” katanya.
Semalam, ketika membacakan penyataan saksinya, bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan di Bank BSI Singapura itu berkata transaksi pemindahan dana fidusiari 1MDB dan syarikat berkaitan dengannya membabitkan jumlah yang sangat besar, kekerapan yang tinggi sehingga ada yang mencecah AS$2.721 bilion sehari pasti akan memerlukan kelulusan daripada pihak atasan.
Sehubungan itu, saksi berkenaan mengandaikan bahawa Najib yang merupakan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB semestinya mengetahui mengenai transaksi membabitkan dana kerajaan tersebut.
Selain itu, Kevin menyatakan, dia dan rakan setugasnya pernah menimbulkan syak wasangka terhadap transaksi membabitkan 1MDB dan SRC International Sdn. Bhd. kepada pihak atasan tetapi ia seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Tambahnya, dia dan rakan sekerjanya sebaliknya diminta untuk terus menjalankan transaksi yang menguntungkan itu.
Menurut Kevin, rasa syak itu timbul apabila syarikat besar seperti 1MDB yang berkaitan kerajaan Malaysia atau dana kekayaan negara memilih Bank BSI yang bukannya sebuah bank besar untuk menjalankan urus niaganya.
“Dan akhirnya keputusan diambil oleh pihak atasan kerana urus niaga itu berterusan tanpa henti walaupun kebimbangan sudah disuarakan berhubung kesahihan transaksi,”katanya.
Kevin berkata demikian dalam perbicaraan kes Najib, 70, yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 17 April ini. – UTUSAN