Syamsul kecewa tak dapat berjumpa Puteri Sarah

Syamsul kecewa tak dapat berjumpa Puteri Sarah

KUALA LUMPUR: Pengarah sensasi, Syamsul Yusof kecewa apabila harapan untuk bertentang mata dan bersua muka dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini, hari ini tidak kesampaian.

Syamsul yang diwakili sepupunya, Muhammad Nazri semasa proses tersebut bagaimanapun menghormati proses yang dijalankan apabila dibuat secara berasingan sekali gus menyukarkan dirinya untuk mencari jalan perdamaian.

“Melalui proses JKP pagi ini saya harap dapat berjumpa Sarah, tapi malangnya proses itu dijalankan secara berasingan. Saya akur dan mengharapkan masalah rumah tangga kami ini dapat diselesaikan secara baik.

“Saya juga mahu Sarah menerima poligami ini. Saya mahu berbincang mengenai giliran untuk bermalam bersama isteri-isteri. Kalau dia tidak mahu, saya tetap ingin berbincang.

“Saya sangka dapat bersemuka dengan dia tadi tapi proses JKP bukan sebegitu. Sebenarnya saya kecewa namun hanya ikut proses mahkamah dan mampu buat yang terbaik,”katanya ketika ditemui selepas proses JKP berakhir yang dianggarkan berlangsung hampir dua jam.

Pada masa sama, Syamsul menegaskan, penyelesaian untuk berpisah bukan keputusan yang mudah untuk dilakukan, sebaliknya banyak faktor lain yang perlu difikirkan.

“Orang selalu cakap kenapa saya enggan menceraikan dia. Pertama sekali, kami adalah pasangan suami isteri dan lebih tahu urusan rumah tangga dan hal dalam kain.

“Perceraian bukan perkara yang mudah untuk dilakukan. Hakikatnya ramai orang yang mengalami masalah besar selepas bercerai seperti tuntutan hak penjagaan anak, nafkah dan macam-macam lagi.

“Jadi sebab itulah saya nak sangat bertemu Sarah untuk berbincang dan menyelasaikan masalah ini dengan baik dan harmoni,”katanya.

Dalam pada itu, Syamsul memberitahu, dia akan mempertimbangkan permintaan Sarah untuk dilepaskan sekiranya wanita itu bersedia untuk bersemuka.

7 Mac lalu, Puteri Sarah dan Syamsul diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

 

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received